Saturday, May 24, 2014

#PrkTelukIntan : Dyana Dibayangi DAP

pilihanraya kini     2:13 AM    



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menyifatkan calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, dibayangi oleh barisan pemimpin DAP terutama penasihatnya Lim Kit Siang.

“Saya diberitahu apabila calon (DAP) ke mana-mana, di belakangnya (Lim) Kit Siang. Ada wawancara, sebelah dia Kit Siang, dia tidak dapat jawab soalan, Kit Siang rampas mikrofon.

“Kerana itu adalah bayang-bayang calon,” katanya semasa melancarkan Kempen Membaca Perpustakaan Bergerak di Kampung Sungai Manila, di Teluk Intan hari ini.

Muhyiddin berkata tindakan DAP meletakkan calon Melayu wanita muda untuk kerusi itu adalah untuk mengaburi mata orang Melayu kerana parti itu sejak dahulu lagi dikenali sebagai parti chauvinist.

“Ada pernah dengar dia (parti DAP) menyokong dasar-dasar perjuangan orang Melayu?. Ada pernah dengar dia mendokong syiar Islam? Ada pernah dengar dia berusaha untuk membantu orang Melayu yang miskin,” tanya Muhyiddin kepada para hadirin.

Justeru, beliau meminta pengundi menggunakan hak dengan bijak untuk memilih seorang wakil rakyat yang berpengalaman, mampu untuk memikul tanggungjawab dan menolong menyelesaikan masalah mereka.

Muhyiddin berkata sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya, tetapi kalau tidak ada pengalaman yang cukup maka sebahagian besar urusan kepentingan rakyat tidak dapat dicapai, dan kemajuan dan pembangunan kawasan yang ditandingi akan mengambil masa yang lama.

Beliau berkata wakil rakyat yang memahami masalah pengundi dan kawasan yang diwakilinya, akan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

Beliau berkata adalah penting untuk memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) supaya penduduk mendapat faedah pembangunan.

PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong, yang juga Presiden Gerakan dan Dyana Sofya. 

– Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.