Saturday, May 24, 2014

#PrkTelukIntan : Dyana Tiada Kredibiliti dan Tidak Matang

pilihanraya kini     12:33 PM    

Gerakan menyifatkan calon DAP untuk PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, tidak matang dan tiada kredibiliti.

Setiausaha Penganjur Kebangsaannya, Lau Hoi Keong berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan apa yang dianggapnya sebagai kegagalan Dyana Sofya menjawab secara spontan soalan-soalan yang diajukan wartawan.

Menurutnya, banyak persoalan yang dibangkitkan, terutamanya ketika sidang media, tidak dijawab sendiri oleh calon itu.

Katanya, insiden perebutan mikrofon ketika sidang media melibatkan beberapa pemimpin DAP, termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang untuk menjawab soalan dikemukakan petugas media, jelas menunjukkan mereka tidak yakin dengan jawapan bakal diberikan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

“Sebagai calon ahli Parlimen, beliau perlu menunjukkan kematangan dan berani untuk menjawab setiap soalan yang ditanya sebagai persediaan membawa masalah rakyat di Parlimen.

“Pengundi Teluk Intan hendak tahu kenapa mereka memilih seorang calon seperti itu kerana jika dipilih sebagai wakil rakyat, Dyana perlu membawa hasrat dan permintaan rakyat Teluk Intan di Parlimen,” katanya ketika sidang media, semalam.

Beliau berkata, antara soalan tidak dijawab Dyana Sofya adalah pendiriannya secara jelas dan menyeluruh terhadap pelaksanaan hukum hudud, sedangkan ia diperjuangkan parti sekutu DAP, iaitu Pas.

“Dyana juga tidak dapat menjawab soalan mengenai kedudukan ahli DAP berbangsa Melayu yang akan mengikut jejak (bekas Naib Pengerusi DAP) Tunku Aziz Tunku Ibrahim,” katanya.

Hoi Keong berkata, pengundi juga mahu tahu adakah Dyana Sofya hanya bertanding sebagai wakil DAP atau wakil rakyat yang dipilih untuk ke Parlimen.

Difahamkan, sebelum ini, terdapat beberapa adegan merampas mikrofon oleh Kit Siang dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching ketika sidang media untuk membantu menjawab soalan yang dikemukakan kepada Dyana Sofya.

Dalam perkembangan lain, Hoi Keong berkata, beliau kesal apabila poster calon BN, Datuk Mah Siew Keong disembur cat hitam. 

Katanya, terdapat juga provokasi yang dipercayai dilakukan oleh penyokong DAP, berdasarkan warna pakaian dan bendera DAP dipasang pada basikal yang sengaja ditunggang berulang alik di hadapan trak Gerakan ketika mereka mengadakan ceramah pagi, semalam.

Sementara itu, Dyana Sofya mengakui memerlukan bantuan pemimpin DAP untuk menjawab soalan wartawan melibatkan isu.

Difahamkan, calon DAP itu juga gagal menjelaskan berkaitan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz, yang keluar parti pada 2012 gara-gara perbezaan pendirian dengan pemimpin kanan DAP.

Sementara itu mengulas lanjut mengenainya, Dyana Sofya berkata, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, sesuai menjawab soalan mengenai isu Tunku Abdul Aziz keluar parti memandangkan ia timbul semasa beliau belum menyertai DAP lagi.

“Jika anda tanya soalan itu, saya tidak boleh jawab. Saya akan berikan mikrofon itu kepadanya (Kit Siang). Saya rasa tidak salah mendapatkan bantuan orang lain untuk menjawab, malah ia amalan yang biasa berlaku.

“Dalam mana-mana sidang media pun, akan ada orang di sebelah untuk bercakap, jadi ia bukan isu.

"Namun, untuk ceramah dan sidang media sebelum ini, termasuk artikel disiarkan, semuanya ditulis dan saya sendiri cakap, bukan Kit Siang,” katanya pada di Pusat Operasi DAP.

Sumber : Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.