Thursday, May 29, 2014

#PRKTelukIntan : Gerak Kerja PAS Capai Tahap 80%

pilihanraya kini     7:12 PM    


TELUK INTAN: Gerak kerja daripada jentera PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan telah mencapai tahap yang sangat memuaskan iaitu 80 peratus.

Pengarah Operasi PAS PRK Teluk Intan, Salahuddin Ayub berkata, jentera di semua peringkat yang diarah daripada seluruh negara telah memberikan komitmen yang tinggi untuk turun membantu kempen walaupun PAS tidak bertanding disitu.

Menurutnya, jentera dan operasi di peringkat induk serta seluruh Unit Peti Undi (UPU) beroperasi dengan baik dan segala perancangan program berjaya dilaksanakan dengan baik.

"Baki dua hari yang akan datang ini saya yakin akan dapat melebihi daripada gerak kerja sekarang untuk memastikan kemenangan terhadap calon DAP," katanya ketika ditemui Harakahdaily di majlis ramah mesra bersama media anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat di Padang Tembak, dekat sini, semalam.

Naib Presiden PAS itu menyatakan, dalam pilihan raya ini PAS telah merancang pendekatan inklusif khususnya kepada pengundi sasaran termasuklah golongan muda dan pengundi luar.

Selain itu, PAS katanya mempergiatkan program-program seperti ziarah, santuni rakyat, dan ceramah kelompok dalam baki tempoh kempen ini sekurang-kurangnya dapat mengekalkan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada DAP.

Bagaimanapun, ujarnya PAS menangguhkan aktiviti kempen semalam sebagai menghormati kemangkatan Sultan Azlan Shah yang akan dimakamkan selepas solat Asar nanti.

"PAS ambil perhatian kepada pengundi sasaran, kelompok tegar BN tidak lagi menjadi kumpulan sasaran kami.

"Kami akan berusaha sedaya mungkin, sekurang-kurangnya mengekalkan sokongan orang Melayu kepada DAP," ujarnya.

Beliau menjelaskan, Umno sangat mengharapkan penyokong PAS tidak menyokong dan memberi undi kepada calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan angan-angan semua undi mereka itu akan pergi kepada BN.

Namun, jelas beliau pengharapan Umno itu hanya angan-angan apabila ahli dan penyokong PAS konsisten untuk menyokong serta memberi undi kepada Dyana 31 Mei nanti. 

- HARAKAHDAILY


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.