Sunday, May 25, 2014

#PRKTelukIntan : Guan Eng Akui BN Mendahului di Teluk Intan

pilihanraya kini     7:15 PM    



TELUK INTAN: Dengan tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan berbaki enam hari lagi, pemimpin DAP hari ini mendakwa mereka masih di belakang berbanding BN.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa, keadaan itu berpunca daripada tindakan BN yang memainkan politik wang dalam kempen PRK tersebut.

"Kita tahu kita masih di belakang, BN masih mendahului DAP kerana mereka banyak guna taktik kotor.

"Main politik wang, gertak ahli Rela bahawa hanya bila BN menang baru dapat uniform baru.

"Itulah nilai undi BN, sama sehelai uniform baru," katanya pada sidang media selepas melancarkan lori ‘Trak Ubah untuk Dyana’ di Bandar Baru Teluk Intan di sini tengah hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga dalam pada itu turut mengecam penyebaran gambar palsu berbikini calon DAP Dyana Sofya, di beberapa tempat termasuk masjid semalam.

"Tak pernah belaku dalam PRK, calon difitnah setahap ini, hanya kerana seorang perempuan, seorang muda, dan graduan UiTM. Sungguh menjijikkan.

"Saya rasa mereka akan guna bayak lagi taktik politik wang untuk beli undi rakyat Teluk Intan," ujarnya.

DAP menurut Guan Eng, sedia menerima kekalahan namun biarlah ia berlaku secara bermaruah dan bukan kerana taktik kotor yang digunakan parti lawan.

"Saya rasa kalau nak menang pun biar menang dengan mulia. Kita sedia terima kekalahan tetapi terima secara bermaruah," jelasnya lagi.

Dalam pada itu beliau juga yakin rakyat Teluk Intan mempunyai perinsip dan tidak mudah termakan taktik politik wang BN.

Biarpun masih di belakang, calon DAP, Dyana Sofya kata Guan Eng menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat dan diharap diterjemah pada hari pengundian 31 Mei nanti. 


- HARAKAHDAILY 


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.