Tuesday, May 27, 2014

#PrkTelukIntan: 'Hadangan Perkauman Masih Belum Dipecahkan'

pilihanraya kini     1:02 PM    


Selepas lapan hari kempen pilihan raya Teluk Intan berlangsung, DAP nampaknya masih belum berjaya memecahkan 'hadangan perkauman' seperti disasarkan mereka.

Pada masa yang sama, gerak kerja BN pula kelihatan bercelaru kerana kempen yang tidak seragam di antara Gerakan dan Umno.

Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi pada satu majlis, mendakwa peniaga Cina yang mengundi DAP tidak mengenang budi orang Melayu dan India yang menjadikan mereka kaya.

Mesej begitu pastinya sukar dipertahankan oleh Datuk Mah Siew Keong, presiden parti Gerakan yang dari segi sejarahnya mendukung idealisme kemajmukan kaum.

Pada masa sama, kenyataan itu juga akan menjauhkan lagi pengundi Cina yang majoritinya memilih DAP dalam pilihan raya umum lalu.

Semalam juga, Mah Siew Keong mengumumkan manifesto beliau yang antaranya menjanjikan penubuhan sebuah universiti, transformasi Teluk Intan sebagai pusat pencinta makanan di Perak, dan penyenaraian Menara Condong sebagai salah satu tapak warisan Unesco.

Mah mengumumkan manifestonya sehari awal daripada DAP yang dijangka berbuat demikian hari ini.

Sayangnya, Mah kelihatan cuba menjarakkan diri daripada janji-janji yang dilakukan beberapa menteri pada majlis mereka, tanpa kehadiran beliau.

Beliau antaranya merujuk kepada janji Zahid Hamidi untuk menyegerakan pemberian seragam baru kepada anggota RELA di Teluk Intan.

"Ia tiada dalam manifesto. Saya hanya letakkan apa yang saya fikir mampu lakukan sebagai anggota Parlimen,” katanya.

Menurut Mah, beliau selesa dengan manifestonya yang disifatkan sebagai "ringkas, bukan benda-benda besar tetapi penting".

Mah sejak awal kempennya juga telah berikrar akan berkempen secara bersih dan menjauhi serangan peribadi.

Namun, perkara sebaliknya berlaku pada ceramah kecil anjuran BN.


Dua hari lepas, seorang penceramah BN Youth Volunteer sewaktu bercakap di Dataran Menara Condong mendakwa calon DAP, Dyana Sofya menggesa agar UiTM dibuka kepada bukan kaum bumiputera dan bukan Melayu.

Kenyataan itu bukan sahaja telah dinafikan oleh Dyana namun ia jauh menyeleweng daripada kenyataan sebenarnya yang menggesa agar satu institusi seperti UiTM ditubuhkan untuk
pelajar bukan Melayu.

Mah Siew Keong sehingga kini tidak pernah membawa mesej yang bertumpu kepada satu-satu kaum sahaja dalam siri kempen beliau.

Malah, sewaktu ditanya tentang peluangnya untuk memenangi pengundi Cina selepas melancarkan manifestonya, Mah menegaskan beliau lebih selesa melihat pola pengundian secara keseluruhan tanpa pecahan berdasarkan demografi kaum.

Tiga hari lalu, gambar palsu Dyana berbikini didapati diedarkan di masjid dan kampung-kampung Melayu - satu perbuatan yang BN nafikan datang dari pasukan kempen mereka.

Insiden ini dan mesej menyeleweng tentang kenyataan Dyana, walaupun di luar kawalan Mah, menimbulkan persoalan sejauh mana kempen untuk menolak Dyana dan DAP yang dibawakan BN, selaras dengan ikrar kempen bersih Mah Siew Keong.

Di pihak DAP, pencalonan Dyana untuk memenangi lebih banyak undi Melayu di kubu kuat BN belum membuahkan hasil.

Ceramah anjuran PKR di Kampung Terengganu dua hari lepas, yang dianggap kawasan hitam buat DAP dan Pakatan Rakyat hanya dihadiri kira-kira 200 orang.

Suasana yang sama turut dilihat pada ceramah-ceramah anjuran PAS di markas-markas mereka.

Ceramah Dyana di markas PAS di Kampung Padang Tembak pada hari ketiga kempen menarik hanya sekitar 50 orang hadirin.

Lebih melucukan, Dyana menggunakan 'chee cheong fun', sejenis makanan Cina popular di Teluk Intan, sebagai contoh untuk menggambarkan kenaikan harga barang apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, sewaktu berceramah di hadapan khalayak Melayu di Padang Tembak.

Kampung Padang Tembak dikenali sebagai kawasan kelabu buat Pakatan Rakyat kerana PAS dan Umno mempunyai pengaruh yang sama kuat di kampung itu.

Namun, sokongan dari pengundi tradisional DAP dilihat kekal kukuh buat Dyana.

Ceramah anjuran DAP di Jalan Mahkota, berhampiran Bank OCBC pada malam yang sama dengan ceramah di Kampung Terengganu, mencatatkan kehadiran sekurang-kurangnya 5,000 orang hadirin.

Semalam juga, DAP mengumumkan parti itu akan menyediakan perkhidmatan bas untuk mengangkut pengundi Teluk Intan yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura.

Pengundi dari kawasan bandar, diketahui umum sebagai penyokong setia Pakatan Rakyat.

Inisiatif ini tentunya membuatkan Mah 'kurang senang' kerana beliau sejak awal kempen menasihatkan pengundi berusia di Teluk Intan agar tidak terpengaruh dengan sentimen 'pengundi
luar'.

Dengan baki empat hari lagi sebelum penamaan undi, kedua-dua parti nampaknya selesa dengan sokongan pengundi setia mereka semata-mata.

Sumber : MalaysiaKini



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.