Thursday, May 22, 2014

#PrkTelukIntan : Jangan Serang Peribadi!

pilihanraya kini     2:17 PM    



TELUK INTAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan bukan medan untuk menlancarkan serangan peribadi, yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada penduduk di kawasan itu.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berkata: “Yang penting kita (BN dan pakatan parti pembangkang) kena terangkan apa yang boleh buat untuk pembangunan penduduk Teluk Intan.

“Jangan guna tuduhan tidak berasas untuk serang saya ataupun Dyana (Sofya Mohd Daud calon DAP),” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan kumpulan senaman Tai Ji di Padang Jalan Speedey, di sini hari ini.

Presiden Gerakan itu berkata tindakan itu adalah taktik kotor dan tidak profesional.

“Ini perlawanan antara dua parti BN dan Pakatan Rakyat (PR) yang berbeza dari segi prinsip dan ideologi, bukan antara dua calon (Mah dan Dyana),” tambahnya.

“Saya sendiri telah dapat banyak bahan terhadap lawan (Dyana), saya tidak tahu sama ada ia benar ataupun tidak. PRK ini bukan berkaitan soal peribadi.

“Ramai juga yang buat kritikan tidak berasas dan tidak benar mengenai saya. Ini tidak patut. Kita kena fokus apa yang kita boleh buat,” katanya.

Mah berkata penduduk tempatan yang ditemui mahukan beberapa perkara utama dilaksanakan segera seperti menaik taraf beberapa jalan, pembersihan parit dan longkang serta kemudahan bersukan.

“Kemudahan menaik taraf keperluan asas ini agak tergendala sejak calon DAP memenangi kerusi ini (pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013). Kita mahu teruskan pembangunan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya dengan pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini manakala pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

- Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.