Friday, May 30, 2014

#PrkTelukIntan : Jangan Tolak Tuah

pilihanraya kini     5:19 PM    




PUTRAJAYA, 30 Mei - Pengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan diharap tidak menolak tuah untuk mempunyai seorang anggota Kabinet dengan memilih Datuk Mah Siew Keong sebagai wakil rakyat mereka, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Beijing semalam bahawa Presiden Gerakan itu akan dilantik sebagai anggota Kabinet jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, esok.

“Penduduk Teluk Intan tidak harus menolak tuah ini kerana jika seseorang menteri berada di sesuatu kawasan, kawasan itu semestinya akan berubah.


“Dari sudut pembangunannya berkali ganda boleh dibawa ke kawasan itu kerana atas kapasiti jawatannya itu akan mempunyai pengaruh untuk dia membangunkan kawasan-kawasan tempatan,” kata kepada media selepas menghadiri Majlis Taklimat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) bersama Mufti Pahang di sini hari ini.

Pada majlis taklimat itu, Ahmad berkata rakyat harus memahami bahawa cukai yang dikutip kerajaan akan digunakan untuk kepentingan rakyat.

Malah, katanya, tidak menjadi kesalahan dalam Islam untuk mengenakan cukai kepada rakyat, asalkan ia adil dan tidak membebankan.

“CBP adalah cukai yang lebih adil daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta tidak membebankan,” tambahnya.

Mengenai kos sara hidup yang kian meningkat, Ahmad berkata cara menangani isu itu bukan hanya melalui penurunan harga barang tetapi juga meningkatkan pendapatan rakyat.

“Peruntukan besar kita berikan kepada rakyat untuk tujuan pendidikan adalah cara kerajaan untuk menambah pendapatan rakyat yang akan keluar melalui hasil pendidikan kelak,” katanya.

Katanya pelbagai dana dan tabung perniagaan serta peluang mendapatkan latihan kemahiran kepada para pelajar yang gagal ke universiti juga disediakan kerajaan dalam usaha menambahkan pendapatan rakyat.

“Ini adalah usaha kerajaan dengan memberi peluang kedua kepada belia supaya mereka mempunyai kemahiran dan apabila mereka masuk ke alam pekerjaan nanti gaji mereka lebih tinggi dan taraf hidup mereka juga lebih tinggi,” katanya

Sumber: Umno Online


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.