Tuesday, May 20, 2014

#PRKTELUKINTAN : JAWATAN SENATOR BUKAN KEUTAMAAN

pilihanraya kini     6:45 PM    


TELUK INTAN, 20 Mei (Bernama) -- Bagi Datuk Mah Siew Keong, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Teluk Intan adalah atas rasa tanggungjawab dan amanah untuk membangunkan kawasan itu demi manfaat penduduknya.

Anak tempatan Teluk Intan dan calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, jawatan senator bukanlah pilihannya untuk membangunkan kawasan parlimen itu.

"Saya berada dan bertanding di Teluk Intan kerana saya mahu menjaga kebajikan dan pembangunan Teluk Intan. (Sebagai) Senator tidak boleh sangat hendak jaga kawasan. Saya mahu menjadi wakil rakyat kerana saya yakin dapat menolong, terutama dari segi pembangunan insfrastruktur, pelaburan dan pekerjaan kepada golongan muda," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kempen DAP yang mendakwa jika calon DAP menang, penduduk di kawasan Parlimen Teluk Intan tidak akan rugi kerana calon BN boleh dilantik menjadi Senator dan mempunyai suara di Parlimen.

Mah berkata demikian ketika pemberita selepas bertemu pengundi di Pasar Besar Teluk Intan di sini Selasa.

Malah ada beberapa projek yang dirancangnya semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan antara 1999 hingga 2008 yang tidak sempat dilaksanakannya, seperti mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta projek pembangunan untuk penduduk di situ, katanya.

Presiden Gerakan itu berkata jika DAP berminat sangat untuk meletak calonnya Dyana Sofya Mohd Daud untuk mewakili parti itu di Parlimen, mereka juga boleh melantik setiausaha politik anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang sebagai senator di bawah kuota kerajaan negeri Pulau Pinang.

" Jika hendak, parti lawan juga boleh jadi senator. Pulau Pinang ada kuota senator. Bagilah (calon DAP, Dyana Sofya) jadi senator, dia masih muda, ada banyak peluang," katanya.

Mah yang menyifatkan dirinya sebagai "underdog" dalam PRK kali ini, memandangkan beliau kalah dalam dua kali Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, berkata pihaknya berdepan dengan cabaran yang sukar pada PRK ini.

"Kita perlu menang dengan bekerja kuat dan bukan dengan politik murahan dan serangan peribadi. Kita bertarung atas dasar dan apa yang kita buat untuk rakyat," katanya.

Menyentuh mengenai respons pengundi setakat ini, Mah berkata kempen yang masuk hari kedua ini dilihat lebih menggalakkan berbanding dua PRU yang lepas.

"Kita gerakkan lebih banyak ceramah terutama mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kerana banyak maklumat telah diputar belit, selain usaha menangani rasuah," katanya.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Sementara itu, penasihat Gerakan Datuk Chang Ko Youn dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata tindakan DAP memainkan isu jika calon DAP menang penduduk sini tidak akan rugi kerana calon BN boleh dilantik menjadi Senator sebenarnya bertujuan mengelirukan pengundi perlimen Teluk Intan.

" DAP terus mencanangkan (Datuk) Mah Siew Keong boleh dilantik sebagai Senator jika kalah. Kalau mereka betul-betul mahu memupuk Dyana (sebagai pemimpin parti mewakili generasi muda), boleh letak dia sebagai anggota majlis ataupun senator dalam kerajaan Pulau Pinang atau Selangor," katanya.

Beliau berkata buktikan dulu Dyana Sofya berkebolehan, "jangan datang sini hanya dengan janji-janji."

Beliau menyifatkan tindakan DAP meletakkan setiausaha politik Lim itu bertanding di PRK Teluk Intan hanya untuk memancing undi Melayu malah sanggup mengetepikan kebolehan dan kemampuan pemimpin DAP yang berasal dari Teluk Intan serta pemimpin di peringkat bahagian.

Katanya tindakan DAP itu dilihat seolah-olah mahu menyembunyikan konflik dalaman DAP Perak, terutama antara bekas anggota Parlimen Teluk Intan, M. Kula Segaran dengan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, katanya.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.