Sunday, May 25, 2014

#PRKTelukIntan : Jentera Pakatan Mahu Dyana Menang

pilihanraya kini     7:06 PM    



TELUK INTAN: Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat bersatu hati menggerakkan jentera dalam misi memenangkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang diwakili DAP.

Dalam Himpunan Jentera Wanita Pakatan Rakyat yang diadakan di Markas Operasi Induk PAS, Padang Tembak dekat sini pagi tadi, seluruh jentera berikrar akan bekerja keras dalam baki tempoh kempen.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, penyatuan gerak kerja Pakatan Rakyat yang sangat utuh ketika ini khususnya wanita sangat digeruni oleh Umno.

Mereka katanya sangat takut apabila pelbagai usaha dan dakyah yang dibuat untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat menghasilkan kegagalan sebaliknya jentera Pakatan Rakyat tetap kekal semangat setiakawannya.

"Jangan ada dari kalangan kita khususnya Muslimat PAS yang terpengaruh dan mudah dilagakan oleh Umno antara sesama kita.

"Ini semua jarum-jarum daripada musuh untuk memecah belahkan sesama kita," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata, beliau sangat terharu dengan kesungguhan jentera terutama Muslimat PAS yang membantu sedaya mungkin bagi memastikan Dyana sampai ke parlimen kelak.

Katanya, Umno dalam keadaan tertekan apabila DAP yang kononnya anti bangsa Melayu telah mencalonkan Dyana yang merupakan seorang Melayu beragama Islam.

"Saya tegaskan, ini bukan soal bangsa, tetapi kita kena sokong calon yang tiada kepentingan, bukannya untuk mementingkan kroni semata-mata.

"Kita perlu buktikan wanita juga boleh setanding dengan lelaki dalam aspek kepimpinan," katanya kepada ratusan jentera wanita Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pilihanraya Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi menggesa seluruh tenaga untuk fokus untuk menjalankan gerak kerja dan mengelak daripada mengeluarkan spekulasi yang boleh menjatuhkan semangat para jentera.

Hadir sama dalam majlis itu ialah pimpinan Wanita Pakatan Rakyat Perak dan Malaysia serta calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang turut menyampaikan kata-kata semangat kepada jentera.

 - HARAKAHDAILY


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.