Friday, May 30, 2014

#PrkTelukIntan : Keputusan Diumum Seawal 9 Malam - SPR

pilihanraya kini     3:45 PM    



TELUK INTAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan diumumkan seawal jam 9 malam esok.

Pengarah SPR negeri, Ahmad Adli Abdullah, berkata peti undi pertama dijangka sampai ke pusat penjumlahan undi di Dewan Besar Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib pada 6.30 petang. 

Beliau berkata, sebanyak 35 pusat pengundi membabitkan 120 saluran dibuka untuk pengundian biasa pada pilihan raya kecil kali ini.

"Semua pusat mengundi akan dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup pada 5 petang. Namun pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Timah ditutup satu jam awal iaitu jam 4 petang.

"Ia berikutan hanya satu saluran dibuka dan jumlah pengundi yang kecil," katanya pada sidang media di Pusat Penjumlahan Undi PRK Teluk Intan di SM Abdul Rahman Talib, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menempatkan seramai 947 petugas membabitkan pegawai pengurus, ketua tempat mengundi, kerani termasuk 120 anggota polis bagi memantau perjalanan proses pengundian.

Sementara itu, mengulas mengenai peratusan yang mengundi, Ahmad Adli berkata, SPR menjangkakan lebih 80 peratus pengundi berdaftar akan mengundi esok. 
Katanya, jangkaan itu berdasarkan pertandingan sengit yang ditunjukkan antara kedua-dua parti bertanding ketika tempoh berkempen.

"Semua parti kerja kuat untuk tarik pengundi. Kita boleh lihat keadaan dah semakin meriah minggu ini," katanya.

Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.