Tuesday, May 27, 2014

#PRKTelukIntan: Mah kecewa individu tidak bertanggungjawab rosak bahan kempen

pilihanraya kini     12:25 PM    









Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

TELUK INTAN 27 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong hari ini kesal kerana poster-poster kempen BN menjadi sasaran kebencian apabila dicemari dengan cat dan tulisan huruf 'B' yang didakwa merujuk kepada perkataan 'bodoh'. 

Siew Keong yang ditemui selepas melawat pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini berkata, sepanjang bertanding di Teluk Intan beliau tidak pernah mengalami kejadian seperti itu.

"Saya sudah 20 tahun di Teluk Intan dan tak pernah berlaku seperti ini. Saya tahu Lim Kit Siang kata Dyana Sofya ada 3B (beauty(cantik), brain (bijak) and bravery (berani)), hari ini saya tengok banyak poster saya ditulis huruf B dengan cat hitam yang bermaksud 'bodoh'.

"Kita ada emosi dan penyokong kita juga sangat marah. Ini adalah budaya yang kita tidak amalkan di Teluk Intan," jelas beliau kesal.

Menurutnya, beliau telah menegah semua penyokong BN daripada membalas perbuatan berkenaan.

"Ini satu tindakan yang tidak baik. Ada beberapa hari lagi menjelang pilihan raya dan kita tidak mahu suasana persekitaran yang tegang. Ini adalah proses demokrasi. Kenapa mahu buat seperti ini? tanya beliau.

Siew Keong turut mendedahkan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh pihak tidak bertanggungjawab yang meminta pengundi datang ke pejabat beliau untuk mengambil wang tunai RM200.

"SMS palsu juga disebarkan meminta pengundi datang ke pejabat saya untuk mengambil RM200 pada Isnin. Ada yang datang dan marah kepada kita apabila tidak mendapat wang," kata Siew Keong.

Selain itu, Siew Keong yang juga Presiden Gerakan mendakwa manifesto pilihan raya yang dilancar beliau semalam turut menjadi sasaran kempen DAP.

"Kita cuba membina universiti di Teluk Intan juga dikritik. Mereka sepatutnya memberitahu rakyat apa yang DAP mahu lakukan. Saya tidak tahu mereka ada manifesto atau tidak. Semua sidang akhbar mereka hanya mahu mengkritik kita. Tidakkah mereka ada agenda sendiri? katanya.

Siew Keong berkata, jika DAP begitu yakin dengan polisi yang mereka ada parti tersebut tidak sepatutnya menjalankan kempen yang memburukkan parti lawan.


- UTUSAN ONLINE



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.