Monday, May 26, 2014

#PrkTelukIntan : Mungkinkah Ada Kejutan?

pilihanraya kini     11:57 AM    



PILIHAN Raya Kecil (PRK) Teluk Intan menyaksikan pendatang baru daripada DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud, bertanding melawan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong. Pilihan raya kecil ini akan berlangsung Sabtu ini.

Kerusi Parlimen bagi kawasan itu menjadi kosong apabila penyandangnya Seah Leong Peng (DAP) meninggal dunia pada 1 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Leong Peng mengalahkan calon BN itu yang juga Presiden Gerakan dan seorang calon bebas. Leong Peng menang dengan majoriti 7,313 undi, satu angka yang selesa.

Ini bermakna pendatang baru Dyana Sofya akan mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh partinya pada tahun lalu, manakala Siew Keong akan mencuba nasibnya buat kali ketiga.

Dalam politik, segala-galanya boleh berlaku. Walaupun Dyana Sofya masih muda (26 tahun), Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ini mungkin menang mudah kerana sokongan pengundi dijangka berterusan.

Bagi pihak Siew Keong pula, pastinya dia berharap dalam tempoh setahun sejak PRU-13, perubahan sentimen telah berlaku dan keyakinan pengundi telah mula berpaling kepada BN. Majoriti pengundi di Teluk Intan adalah kaum Cina.

Pengundi yang berdaftar di Teluk Intan berjumlah 60,349 orang, terdiri daripada 23,301 Melayu, 25,310 Cina dan 11,468 India. Dalam lain perkataan, secara kasar pengundi Cina meliputi 42%, pengundi Melayu 38% dan pengundi India selebihnya 20%.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan tindakan DAP mencalonkan Dyana Sofya hanyalah helah untuk menyembunyikan masalah dalaman parti itu.

“Semua ini hanyalah satu drama untuk menyelesaikan masalah dalaman parti, kerana ramai yang ingin bertanding di situ, tetapi akhirnya Kit Siang menggunakan kuasanya untuk menyelesaikan kemelut parti itu.

“Tindakan mencalonkan Dyana itu bertujuan menggugurkan imej parti itu sebagai parti dominan kaum Cina," kata Tiong Lai lagi.

Tiong Lai berpendapat Siew Keong mempunyai kelebihan kerana sebagai presiden parti komponen BN, dia boleh mendapatkan sokongan terus daripada kerajaan Pusat untuk membangunkan kawasan Teluk Intan di masa depan.

Siew Keong bukan orang asing bagi penduduk Teluk Intan kerana beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal (1999 hingga 2008) sebelum kalah kepada calon DAP dalam pilihan raya 2008 dan 2013.

Walaupun Tiong Lai merasakan Siew Keong mempunyai kelebihan, pada masa sama statusnya sebagai ‘muka lama yang dikitar semula’ mungkin menjadi sebab kenapa pengundi muda di Teluk Intan lebih cenderung dan berminat mengundi calon muda yang sebaya dengan mereka.

Ramai sahabat saya berpendapat BN sepatutnya mencalonkan orang muda dalam PRK ini.

Sewaktu ditemubual wartawan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Dyana Sofya lulusan jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sudah sampai masanya kita beralih daripada dasar berasaskan kaum (race-based policies) kepada dasar berasaskan keperluan (needs-based policies), satu perubahan yang tidak akan merugikan orang Melayu di negara ini kerana mereka masih tetap kaum majoriti di negara ini.

Mengenai isu hudud, Dyana Sofya berpendapat undang-undang jenayah Islam tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini.

Ditanya pendiriannya mengenai UMNO (ibu Dyana adalah ahli UMNO), wanita muda ini menyatakan tidak menyertai UMNO tidak bermakna dia mengkhianati UMNO, kerana tidak semua orang Melayu menyertai parti itu.

Dyana Sofya memberitahu wartawan bahawa dia menyertai DAP pada tahun 2011 kerana dia ada ramai kawan dalam parti itu dan menerima sokongan sepenuhnya daripada ahli keluarganya.

Penentang Dyana Sofya, Siew Keong ialah anak tempatan Teluk Intan. Berusia 53 tahun (dua kali ganda usia daripada calon DAP itu), Siew Keong juga graduan jurusan undang-undang dan seperti disebutkan, pernah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan ini selama dua penggal.

Pastinya dia akan terus mendapat sokongan ahli parti komponen BN dan pengundi lamanya. Persoalannya apakah dia mampu meyakinkan pengundi muda di kawasan itu bahawa dia memahami apa yang dikehendaki oleh golongan mereka sekarang?

Kelebihan BN di Teluk Intan ini diakui sendiri oleh Pengerusi DAP kebangsaan, Tan Kok Wai. Bercakap di Pulau Pinang baru-baru ini, Kok Wai menyatakanbahawa partinya menghadapi uphill battle (pertarungan yang sukar) pada 31 Mei ini.

Pemerhati politik sering menyatakan bahawa dalam PRU-13 lalu, misi besar parti Gerakan adalah merampas balik kerusi Parlimen bagi kawasan Teluk Intan dan Beruas daripada DAP.

Kita sudah pun lihat apa yang berlaku pada tahun lalu. Gerakan kecundang kerana pengundi Cina masih tetap mengundi calon DAP.

Bagaimanapun Siew Keong tetap optimis dan menyatakan dalam dua minggu ini beliau akan bekerja keras untuk merampas semula Teluk Intan.

Apakah Siew Keong akan berjaya dalam cubaannya kali ini? Apakah golongan muda akan meletakkan keyakinan mereka kepadanya? Pada masa sama, apakah pengundi Cina di Teluk Intan akan mengundi calon Melayu yang dikemukakan oleh DAP kali ini?

Sama-sama kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada 31 Mei ini di bandar menara condong ini - satu-satunya struktur sedemikian itu di negara ini.



© Utusan Melayu (M) Bhd


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.