Monday, May 26, 2014

#PrkTelukIntan : NGO India Dakwa Dyana Boneka

pilihanraya kini     12:19 PM    

\


KLANG 25 Mei - Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) mendakwa tindakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya yang bergantung kepada pemimpin lain untuk menjawab soalan daripada pemberita dan pengundi membuktikan seperti ‘boneka' DAP.

Presidennya, A. Prakash berkata, tindakan itu juga jelas menunjukkan beliau tidak layak untuk bertanding kerana belum matang dalam politik selain tidak mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pemimpin seperti lantang bersuara dan petah bercakap.

Katanya, pencalonan Dyana juga jelas menunjukkan DAP mempergunakannya untuk meraih simpati dan undi daripada kaum Melayu di kawasan tersebut, terutamanya golongan belia.

“Dyana bukanlah seorang yang lantang bersuara atau pandai bercakap, malah kebanyakan soalan-soa­lan yang diutarakan oleh media atau pengundi juga bukan dijawab olehnya, tetapi oleh pemimpin DAP lain.

“Bagi saya ramai lagi penduduk Teluk Intan yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin, bukan seorang yang tiba-tiba lompat dalam politik dan mahu jadi pemimpin kerana ini akan merugikan penduduk di kawasan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persa­tuan Belia Bersatu Klang, Muhammad Akmal Ridzuan Abd Rahim.

Dyana sebelum ini mengakui beliau tidak mengetahui tentang kebanyakan isu dan memerlukan bantuan daripada pemimpin lain daripada parti itu untuk menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan kepadanya.

Prakash yang juga anak Teluk Intan berkata, Dyana juga tidak sepatutnya menimbulkan isu hudud dalam PRK tersebut kerana hanya akan mengelirukan dan menakutkan pengundi.

“Sebagai seorang Melayu Islam, beliau sepatutnya menyokong undang-undang itu yang bertujuan untuk mendisiplinkan umat Islam dan tidak ada kena mengena dengan agama lain.

“Isu agama dan perkauman juga sepatutnya diasingkan dengan politik dan tidak sepatutnya dibangkitkan dalam kempan PRK beliau," ujarnya.

Sementara itu, Akmal yang juga bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula menyifatkan Dyana sebagai seorang yang teruk kerana sanggup mempermainkan isu UiTM semata-mata untuk meraih undi.

“Sebagai seorang bekas penuntut UiTM jurusan undang-undang, beliau sepatutnya tahu dan sedar bahawa penubuhan UiTM untuk bumiputera tertakluk kepada perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini tidak sepatutnya ditimbulkan kerana saya tidak nampak apa-apa keperluan untuk UiTM dibuka kepada kaum lain. Di Malaysia ada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan 19 daripadanya telah dibuka kepada kaum lain tanpa sekatan dan hanya UiTM sahaja yang tidak dibuka," jelasnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140526/po_04/NGO-kaum-India-anggap-Dyana-boneka-DAP#ixzz32n9lA7PW
© Utusan Melayu (M) Bhd


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.