Wednesday, May 28, 2014

#PrkTelukIntan : Orang India penentu keputusan PRK Teluk Intan

pilihanraya kini     3:52 PM    



Dengan baki tiga hari sebelum hari mengundi pada pilihan raya kecil Teluk Intan, penduduk India di bandar ini mungkin memegang kunci dalam menentukan parti mana yang bakal menang kelak.

Dengan majoriti daripada 42 peratus penduduk berketurunan Cina dijangka menyokong BN dan majoriti daripada 38 peratus penduduk berketurunan Melayu dijangka menyokong BN, pengundi India kini akan menentukan sebarang peralihan sokongan buat kedua-dua parti.

“BN tahu yang mereka sukar untuk memenangi undi orang Cina. Dan kebarangkaliannya juga agak rendah buat DAP mendapat peralihan sokongan pengundi Melayu BN dengan meletakkan calon Melayu kali ini.

“Oleh itu, undi orang-orang Indialah yang akan menjadi rebutan sekarang,” kata MP Batu Gajah, V Sivakumar kepada Malaysiakini.

Situasi ini boleh dilihat menerusi satu acara anjuran BN dan NGO pro-BN semalam di Teluk Intan, yang pada asalnya bertujuan menerima kemasukan bekas anggota DAP ke dalam BN.

Bekas ‘anggota-anggota’ DAP itu terdiri daripada semua orang India namun, mereka tidak dapat menunjukkan bukti kukuh akan keahlian DAP mereka.

Pengundi India membentuk 19 peratus daripada jumlah pengundi di sini – kira-kira 11,500 pengundi daripada lebih 60,000 orang pengundi.

Dan sejarah menunjukkan, ini bukanlah kali pertama orang India menjadi penentu dalam pilihan raya di Teluk Intan.

- Malaysiakini


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.