Thursday, May 15, 2014

#PRKTelukIntan: Peluang BN Ada Di Teluk Intan Tapi..

pilihanraya kini     1:30 PM    



PEMERHATI politik melihat secara dekat peluang parti-parti yang bertanding untuk merebut kerusi kubu kuat DAP di Bukit Gelugor dan Teluk Intan.


Sinar Harian Online berkesempatan mengadakan wawancara khas bersama Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof untuk mendengar pandangan beliau mengenai peluang parti yang bertanding.


Belum pun bahang PRK Bukit Gelugor bermula, kita dikejutkan pula dengan PRK Parlimen Teluk Intan yang kedua-duanya kerusi DAP. Bagaimana Prof melihat peluang kepada parti-parti  yang bertanding nanti memandangkan kerusi ini dikatakan kubu kuat DAP?

AGUS: Saya fikir kalau di Bukit Gelugor itu, dengan majoriti besar yang dimenangi oleh parti DAP pada PRU13 yang lalu peluang DAP untuk menang di PRK tersebut itu, cerah dan besar.

Jika kita rujuk pula kepada Teluk Intan justeru kemenangan majoritinya itu 7,000 lebih dalam PRU yang lepas, maka persaingan itu sekiranya kena pada calonnya, jikalau kena isunya, jikalau kena strateginya, maka akan ada persaingan.

... tetapi itu terlalu awal untuk dikatakan buat masa sekarang sebab bergantung kepada siapa calonnya di Teluk Intan dan bagaimana isu-isu  yang akan dimainkan oleh kedua-dua pihak yang bertanding dalam PRK itu nanti.

Satu lagi faktor yang menentukan dalam PRK nanti ialah bagaimana trend kerjasama dalam PR dalam isu hudud yang ada sekarang. Dan bagaimana jika trend kerjasama dalam BN dengan isu yang ada sekarang.


Pada pandangan Prof, kebelakangan ini 'ketegangan' hubungan DAP-Pas timbul apabila Pas Kelantan nekad melaksanakan hudud. Sejauh mana Prof lihat ia akan jejaskan sokongan ahli Pas terhadap DAP?

AGUS: Saya fikir dalam konteks ini bukan berlaku di Kota Bharu, Terengganu atau pun Kedah, ini merupakan kawasan yang umumnya adalah liberal dan tidak didokongi kuat oleh ulama, maka penyokong Pas yang ada itu, di kedua-dua negeri ini (Pulau Pinang, Bukit Gelugor), (Perak, Teluk Intan), kawasan PRK berlangsung, apabila mereka mengundi nanti saya fikir mereka tidak akan menjadikan isu hudud sebagai isu utama tetapi mereka melihat kepada kejayaan bersama, jalinan kerjasama mereka untuk melawan BN, saya fikir itu senario dalam konteks PRK di kedua-dua kawasan tersebut.

Berbeza sepertimana yang berlaku di Kajang, di Kajang yang lepas kita ingat PRU13, peratusan yang keluar mengundi adalah sebanyak 88 peratus, tetapi dalam pilihan raya kecil yang lepas itu cuma 72 peratus, jadi 16 peratus yang tidak keluar mengundi, dan PRK Kajang lepas itu, siapa 16 peratus ini? Itu yang perlu kita lihat.

Saya tengok tidak ada kerjasama mantap daripada penyokong Pas dan pemimpinnya  untuk turun berkempen, untuk membina pondok Pas yang banyak sepertimana yang berlaku lazimnya, sekiranya mereka belajar daripada kesilapan ini, mungkin di Bukit Gelugor dan Teluk Intan, undian mereka akan lebih melonjak.

Cuma bergantung kepada bagaimana Pas dapat selesaikan isu hudud oleh pimpinan atasan mereka.


Disebalik ketegangan itu, adakah ada peluang untuk BN mencuri sokongan pengundi?

AGUS: Kesemua parti yang bertanding, sama ada kawasan kuat PR atau BN semua parti akan ada kesempatan, untuk meraih undi pengundi atas pagar.

Kita kena sedar pengundi sekarang tidak taat kepada hanya satu parti, pengundi sekarang adalah pengundi yang celik huruf, pengundi yang mahu lihat calon yang terbaik dicalonkan, isu terbaik yang dimainkan, parti terbaik yang dapat membela mereka, mereka akan dokong.

Jadi saya fikir, soal mencuri undi itu, mana-mana parti dan calon ada kesempatan, bukan hanya bergantung kepada isu hudud, bukan hanya kawasan itu kuat DAP itu bukan, semua parti yang bertanding akan ada kesempatan, kerana pengundi akan berubah sikap pengundi akan berubah, jadi jangan sekali-kali kita melihat pengundi sekarang sama dengan pengundi zaman dahulu.


Mampukah DAP mempertahankan kemenangan di kedua-dua kerusi itu?

AGUS: Saya tidak melihat DAP ada masalah besar, untuk menang di Bukit Gelugor.

Saya tidak nampak ada masalah besar kerana mereka menang selesa dengan majoriti 42,000 lebih.

Di tambah sebelum itu, dengan kematian Karpal yang merupakan kematian yang tragis dan mengejutkan, dan undi simpati akan dapat diraih.

Kepuasaan mereka (rakyat), penilian mereka kepada pimpinan DAP Pulau Pinang itu saya rasa akan memberi sesuatu kesan besar yang tidak mudah bagi BN untuk menggoncangi dalam waktu yang sekejap.

Manakala di Teluk Intan, majoriti 7,200 lebih kemenangan DAP sebelum ini, kalau senario sekarang, satu yang boleh saya katakan, selagi mana BN gagal untuk memenangi sokongan bukan Melayu, maksudnya pengundi Cina masih bersama PR, pengundi India masih 50-50 atau tidak mahu bersama BN, jadi agak sukar untuk BN memenangi PRK tersebut.

Tetapi masih lagi bergantung kepada apa lagi isu yang akan dimainkan, siapa calon dan sebagainya itu merupakan perkara menarik untuk diberi perhatian, kawasan Teluk Intan ini bukan solid Cina, jadi masih ada persaingan.


Kedudukan BN dan PR seri ketika ini, 2-2 untuk pilihan raya kecil selepas PRU13, adakah kemenangan dan kekalahan dalam PRK selepas ini akan memberi impak besar kepada senario politik semasa?

AGUS: Tidak, ini cuma PRK, kalau BN menang dengan majoriti yang kecil, atau PR menang majoriti besar, ianya tidak memberi impak sangat.

Tetapi kita akan melihat adakah rakyat sekarang condong kepada BN atau sebaliknya, apakah rakyat akan condong kepada PR, itu jadi kita boleh lihat itu.

Tetapi kedua-dua kawasan PRK ini, bukan kawasan adil untuk kita menilai, penerimaan rakyat terhadap kedua-dua parti. Sebab tradisinya kedua-dua ini adalah kawasan DAP yang telah lama bertapak dan kuat disitu.

Ambil contoh Pengkalan Chepa, itu kawasan Pas jadi kita lihat kalau Umno gagal dikerusi tersebut, kita tidak  adil mengatakan bahawa Umno telah ditolak kerana itu sememangnya kerusi kuat Pas.

Lain kalau kita lihat kerusi tersebut 50-50,45-50 itu saingan yang baru kita boleh lihat.


Akhir sekali, apa yang Prof harapkan dapat dilihat dalam pilihan raya seterusnya di negara ini. Adakah kita perlu berhenti bercakap tentang kematangan politik atau politik kotor?

AGUS: Kita bercakap tentang politik matang ini sudah lama, itu impian rakyat, itu politik baru, politik kotor siapa pun amalkan politik kotor. Rakyat akan melihat dan  menilai jadi dalam hal ini rakyat akan menolak, PR silap rakyat menilai, BN silap rakyat akan menilai.

Saya harap dalam politik ini, satu lonjakan paradigma boleh dibuat, supaya politik perkauman dan keagamaan dapat dihentikan.

Kedua-dua amalan politik ini, kita perlu hentikan, sebab kedua-dua amalan  politik inilah yang menyekat kematangan politik di negara kita.


Sumber: Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.