Monday, May 26, 2014

#PrkTelukIntan : Pengundian Awal Teluk Intan Esok

pilihanraya kini     6:44 PM    



TELUK INTAN - Pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan berlangsung esok melibatkan 410 pengundi berdaftar di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Ahmad Adli Abdullah berkata pengundian dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang.

"Pengundi awal ini kebanyakan adalah anggota polis dan keluarga yang berdaftar bagi Parlimen Teluk Intan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada segi persiapan, ketua tempat mengundi dan kerani-kerani pengundian awal telah membuat semakan pada sebelah pagi tadi bagi memastikan keseluruhan peralatan pengundian adalah lengkap dan sempurna.

Beliau berkata, calon parti politik yang bertanding atau ejen mereka akan turut terlibat sepanjang proses pengundian itu, termasuk memeteri peti undi bersama petugas SPR.

Ahmad Adli berkata, kesemua peti undi yang telah dimeteri akan dibawa ke Majlis Perbandaran Teluk Intan untuk disimpan dalam peti besi di bilik kebal.

Kesemua peti itu hanya akan dibuka selepas pengundian biasa Sabtu ini, katanya.

"Kita berharap perjalanan pengundian awal esok akan berjalan lancar. Para calon dan penyokong tidak perlu berkumpul terlalu ramai," katanya.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dengan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.