Tuesday, May 27, 2014

#PrkTelukIntan: Polis Sahkan Petugas Wanita BN Ditumbuk

pilihanraya kini     7:46 PM    




Teluk Intan : Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan kejadian seorang petugas Barisan Nasional (BN) daripada parti PPP ditumbuk di Taman Desa Aman di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, wanita berusia 58 tahun itu telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

“Tiga atau empat orang daripada parti PPP telah membuat kempen rumah ke rumah. Apabila mereka tiba di satu rumah, suspek telah menumbuk dan menendang salah seorang daripada ahli PPP tersebut.

“Kami telah mengenal pasti suspek berusia 61 tahun berkenaan. Suspek telah datang ke balai polis membuat laporan bahawa kumpulan PPP itu datang ke rumahnya untuk mencuri buah mempelam. Suspek pergi menemui kumpulan berkenaan dan berlaku pertengkaran dan kejadian tumbukan,” katanya.

Jelas Kok Liang, pihak polis akan menyiasat insiden itu di bawah Seksyen 323 mendatangkan kecederaan dan kertas siasatan dakwaan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa untuk keputusan.

Kok Liang ditemui selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini.



© Utusan Melayu (M) Bhd 


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.