Saturday, May 24, 2014

#PrkTelukIntan : "Saya bukan tua tetapi matang dan berpengalaman,"

pilihanraya kini     12:05 PM    

TELUK INTAN: "Saya bukan tua tetapi matang dan berpengalaman," kata Datuk Mah Siew Keong.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan itu berkata demikian selepas DAP menggelarkannya sebagai calon tua dan kitar semula.

Sebaliknya, Mah berkata, selaku anak tempatan banyak sumbangan dapat diberikan kepada pengundi berbanding calon parti lawan yang diragui kebolehannya.

“Sekarang pihak lawan sentiasa kerjakan saya. Tajuk mereka adalah muda lawan tua. Panggil saya tua? Saya bukan tua tetapi matang dan berpengalaman.

“Yang sihat dan cergas, janganlah cakap muda lawan tua,” katanya ketika berucap di depan kira-kira 70 ahli veteran Umno kawasan Teluk Intan, semalam.

Semenatara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Mah sentiasa mengutamakan penduduk di Teluk Intan walaupun sebelum ini tidak bergelar wakil rakyat.

Katanya, pelbagai peruntukan disalurkan untuk pembangunan Teluk Intan yang sememangnya diketahui oleh penduduk setempat.

Mah berkata, beliau adalah wakil kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Teluk Intan dan aspirasi penduduk kawasan itu lebih mudah dilaksanakan jika mempunyai seorang wakil rakyat dari BN.

Katanya, rekod ahli Parlimen DAP lalu selama dua penggal membuktikan pengundi tidak dijaga dan banyak usaha pembangunan tidak dapat direalisasikan.

“Saya harap saudara akan beri peluang kepada anak tempatan. Saya anak tempatan. Lahir dan kerja di sini. Bagi saya itu sangat mustahak kerana daripada rekod ahli Parlimen DAP lalu, adakah pernah mereka datang? Tak pernah.

“Daripada segi peruntukan, seorang ahli Parlimen BN dapat menolong pembangunan negara. Saya adalah wakil perdana menteri di Teluk Intan,” katanya.

PRK bagi kawasan Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya. 

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Sumber : http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WlbZdfZw==


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.