Monday, May 19, 2014

#PRKTELUKINTAN : TAHUKAH ANDA? PRK PERTAMA UNTUK DYANA,DAN KELIMA UNTUK MAH?

pilihanraya kini     6:29 PM    



TELUK INTAN, 19 Mei (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang dijadual pada 31 Mei ini merupakan pertandingan kelima bagi calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong.

Mah, 53, yang merupakan Presiden Gerakan dan anak jati Teluk Intan, pertama kali bertanding kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,783 undi setelah mengalahkan calon DAP N. Rajendran dalam pertandingan satu lawan satu.

Bekas pengerusi Pemuda Gerakan serta Pengerusi Gerakan bahagian Teluk Intan itu telah mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan pada PRU 2004 setelah memenangi undi majoriti sebanyak 9,836 dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau mengalahkan calon DAP Wu Him Ven dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Gobalakrishnan.

Bagaimanapun berikutan tsunami politik pada PRU 2008, Mah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon DAP M. Manogaran. Manogaran menang dengan majoriti 1,470 undi.

Pada PRU 2013, Mah sekali lagi gagal memenangi semula kerusi itu setelah kalah dalam pertandingan tiga penjuru.

Calon DAP Seah Leong Peng, yang merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar untuk tiga penggal sejak PRU 1999, menang dengan majoriti undi 7,313 mengalahkan Mah dan calon Bebas K. Moralingam.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu pertama kali terlibat dalam PRU pada 1995 dengan bertanding kerusi DUN Pasir Bedamar yang terletak dalam kawasan Parlimen Teluk Intan, dan merupakan kubu kuat DAP.

Sebagai muka baharu, beliau mengalahkan calon DAP Chong Tat Cheong dan calon bebas P. Chelvarajah dengan majoriti undi 3,172.

Lulusan ijazah sarjana muda sains dari London School of Economic dan sarjana dalam bidang pembuatan dari City University London, serta ijazah perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.

Pada 26 Okt tahun lepas, Mah dipilih menerajui parti Gerakan sebagai Presiden setelah mengalahkan pencabarnya Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.

Mah yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2004 hingga 2006, juga pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) pada 2010 sehingga Sept 2013.

Sementara itu calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, lulusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), merupakan muka baharu dan mula dikenali ketika PRU lepas apabila menjawat jawatan setiausaha politik kepada anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang yang merupakan penasihat DAP.

Pelantikan beliau ke jawatan itu, menarik minat pihak media memandangkan ia tanggungjawab yang besar dengan usianya yang muda dan kurang pengalaman dalam bidang politik.

Pemilihan beliau sebagai calon DAP PRK Teluk Intan mengejutkan banyak pihak terutama penyokong tegar DAP di kawasan Parlimen Teluk Intan memandangkan kawasan ini mempunyai jumlah pengundi Cina yang besar iaitu 25,310 orang atau 41.94 peratus daripada 60,349 pengundi berdaftar.

Kaum Melayu seramai 23,301 (38.6 peratus), India 11,468 orang atau 19 peratus dan selebihnya kaum-kaum lain.

Malah sebelum ini DAP tidak pernah menurunkan calon berbangsa Melayu dan seorang wanita, manakala calon parti itu sebelum ini hanya terdiri daripada kaum lelaki Cina atau India.

Tindakan DAP itu kononnya untuk mengubah persepsi orang ramai dan bagi membuktikan DAP sebuah parti yang bukan dominasi kaum Cina.

Dyana Sofya, yang merupakan anak ketiga dan satu-satunya anak tunggal perempuan daripada empat beradik kepada pasangan Mohd Daud Ismail dan Yammy Samat, merupakan anak jati Ipoh.

Ibunya Yammy, 59, merupakan anggota Umno yang dilaporkan pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Wanita Umno yang pertama di Malaysia.

Dyana Sofya dilaporkan turut memiliki sebuah firma guaman di Cyberjaya.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.