Friday, May 30, 2014

#PrkTelukIntan: Taktik kotor DAP tanda parti itu takut - Muhyiddin

pilihanraya kini     3:39 PM    



TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar DAP yang dianggap menggunakan taktik kempen kotor untuk menang pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan. 

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata tindakan sedemikian menggambarkan DAP takut tidak mampu memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan. 

"Pelbagai taktik kotor pembangkang gunakan, dan kita (BN) tidak akan tunduk kepada tekanan. Malah kita ambil tindakan proaktif dan tidak akan mengikut seperti mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir majlis sarapan pagi bersama 25 Badan Bukan Kerajaan (NGO) kaum India di sini, hari ini.

BN menurunkan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, yang juga bekas anggota Parlimen kawasan itu untuk bertanding pada PRK Teluk Intan, dan DAP mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud, setiausaha politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang. 

Muhyiddin berkata selain itu, ceramah besar-besaran membabitkan calon dan pemimpin pembangkang yang diadakan malam tadi turut melambangkan mereka tidak menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah. 

Almarhum Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada Rabu dan dikebumikan lewat petang semalam di Makam Diraja Kuala Kangsar. Perak kini dalam tempoh berkabung selama 100 hari dan dalam tempoh seminggu pertama, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan. 

Pada PRK Teluk Intan, pihak pembangkang melemparkan pelbagai tohmahan terhadap BN dan calonnya Mah, selain didakwa melempar cat hitam dan merah terhadap beberapa poster Mah serta mencontengnya dengan perkataan 'bodoh'. 
Mah sebelum ini turut mendakwa pembangkang menyebarkan maklumat palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), meminta penduduk Teluk Intan datang ke pejabatnya untuk mendapatkan sumbangan kewangan. 

Berita palsu ini menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai apabila gagal memperoleh sumbangan itu. 

Menyentuh kempen BN, Muhyiddin berkata jentera BN akan menggunakan tempoh terakhir berkempen hari ini untuk terus menarik sokongan pengundi, dengan memberi tumpuan kepada beberapa kawasan tertentu. 

Muhyiddin berkata penjelasan berterusan oleh jentera parti bagi menjawab pelbagai tohmahan pembangkang, khususnya mengenai kos hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan rasuah diterima dengan baik. 

"Saya percaya isu-isu ini tidak akan berlarutan," katanya. 

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, timbalan perdana menteri berkata kaum India yang mewakili kira-kira 20 peratus pengundi kawasan itu turut mempunyai peranan besar untuk menentukan kemenangan BN di Teluk Intan. 

- BERNAMA.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.