Tuesday, May 27, 2014

#PrkTelukIntan : Tiada Laporan Provokasi

pilihanraya kini     12:29 PM    



TELUK INTAN - Polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan berhubung berlaku provokasi pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata, walaupun beberapa insiden dilaporkan media namun sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai perlakuan provokasi antara parti politik yang bertanding.

Katanya, daripada 15 laporan yang diterima setakat ini, polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kesalahan pilihan raya masing-masing dua kes untuk ugutan jenayah dan satu bagi kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Calon dan penyokong parti diingatkan tidak menggunakan isu agama dan perkauman ketika berkempen bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya dalam sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini.

Berhubung proses pengundian awal yang akan berlangsung esok, Salleh berkata sebanyak 410 pegawai dan anggota polis terlibat dalam pengundian awal itu di Dewan Serbaguna IPD Hilir Perak dari 8 pagi hingga 5 petang.

PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. 




- Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.