Thursday, May 29, 2014

#PRKTelukIntan: Pengundi Warga Emas Tidak Mudah Dipengaruhi Janji Kosong P/raya

pilihanraya kini     6:55 PM    



TELUK INTAN, (Bernama) -- Pengundi warga emas yang sudah lama menikmati dan menyaksikan pembangunan di Teluk Intan tidak mudah dipengaruhi janji kosong pada pilihan raya kecil kerusi parlimen itu yang pengundiannya akan berlangsung Sabtu ini.

Setelah lebih empat dekad melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi, mereka dilihat lebih cenderung kepada calon yang mereka tahu mampu membawa pembangunan dan memberi keselesaan hidup kepada mereka serta keluarga.

Seorang nenek yang hanya mahu dikenali sebagai Hajah Mutiah, 58, dari Kampung Sungai Manila, berkata kalangan warga emas yang telah mengharungi pelbagai keperitan hidup sehingga mencapai keselesaan dan keamanan pada hari ini, tidak akan sesekali melupakan jasa wakil rakyat yang telah banyak membantu.

Hajah Mutiah menyangkal keras dakwaan sesetengah pihak kononnya golongan warga emas mudah dipengaruhi oleh anak cucu mereka apabila memangkah kertas undi pada pilihan raya kecil itu kelak.

"Kami bukan tidak tahu menilai apa yang terbaik untuk kami dan generasi muda. Kami telah melihat sendiri apa pembangunan yang dibawa oleh kerajaan pusat terutamanya di kawasan pedalaman," katanya kepada Bernama.

Rakan sekampungnya Zaimah Tumiran, 68, yang sependapat dengan Hajah Mutiah, berharap generasi muda Teluk Intan tidak mudah melupakan jasa dan bantuan kerajaan.

"Mereka harus bersyukur atas usaha kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi dan industri pertanian yang memberi manfaat kepada pekebun kecil," katanya yang mengusahakan kebun sawit secara kecil-kecilan di Kampung Sungai Manila.

"Anak saya lahir di kampung dan sedar tanpa bantuan biasiswa oleh kerajaan dia tidak akan dapat belajar di universiti. Kalau tidak dia akan hidup bertani seperti saya," katanya.

Seorang penduduk Kampung Pasir Bedamar Lee Meng Chan, 85, berkata pengundi Teluk Intan mementingkan wakil rakyat yang sering turun padang untuk mendengar masalah penduduk setempat dan berusaha menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.

"Saya lihat Mah seorang yang peka dan prihatin dengan masalah penduduk Teluk Intan... malah banyak membantu," katanya tentang bekas Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong, calon Barisan Nasional pada PRK itu Sabtu ini.

Mah dicabar calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud untuk merebut kerusi parlimen itu.

Seorang penduduk kampung Sungai Suli, yang mahu dikenali sebagai Ang, 61, berkata ada pengundi di sini yang beranggapan membuat pilihan berdasarkan parti lebih penting berbanding calon.

"Mereka tidak tahu bukannya parti yang menyelesaikan masalah kawasan tetapi calon berwibawa mewakili rakyat yang mampu menyelesaikan masalah dan memohon peruntukan untuk pembangunan setempat," katanya.

Beliau berkata hanya penduduk setempat yang lebih memahami calon yang sesuai untuk mewakili suara mereka.

Fong Kam Chuen, 69, pula masih ingat pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 berikutan tsunami politik, ramai mengundi berdasarkan parti dan bukan calon, dan ini tidak membawa perubahan kepada kawasan mereka.

Beliau berkata pengundi Parlimen Teluk Intan perlu menyedari pentingnya projek infrastruktur di sini diteruskan demi pembangunan Teluk Intan dan generasi mudanya.

"Kita harap Mah dapat menang PRK kali ini supaya lebih banyak infrastruktur, jalan-jalan yang lebih elok, perbanyakkan lebih kemudahan untuk keselesaan penduduk," katanya.



-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.