Monday, June 9, 2014

#LPHJ : Kupasan Enakmen LPHJ Yang Menarik

pilihanraya kini     12:35 PM    



1. Mereka yang waras sudah pastilah tidak akan menentang hasrat penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang mahu menyelaras pembinaan projek rumah mampu milik mahupun mengatasi masalah projek terbengkalai. Malahan, ini hasrat yang murni dan perlu disokong.

2. Tetapi isunya adalah mengenai kebimbangan orang ramai yang berkisar tentang mengapa mesti melibatkan Sultan dalam tugas melantik ahli lembaga LPHJ, menyelia akaun lembaga, menentukan elaun ahli lembaga, berkuasa menubuhkan perbadanan serta melantik CEO bagi perbadanan tersebut dan juga kuasa untuk membubarkan lembaga itu. [1]

3. Lazimnya, peranan Sultan di dalam konsep Raja Berpelembagaan adalah terhad contohnya dalam soal perlantikan Menteri Besar, isu agama Islam dan juga hal orang melayu.

4. Orang ramai mungkin akan bertanya- Mengapa mesti kuasa seperti yang disebutkan tadi diberikan kepada Sultan? Tidakkah kuasa ini sudah memadai diberikan kepada kerajaan negeri yang dipilih secara demokratik?

5. Mungkin ada perkara yang orang ramai tidak tahu yang mana kerajaan negeri boleh perjelaskan tentang kewajaran melibatkan Sultan di dalam rang undang-undang LPHJ ini khususnya bagaimana ia mampu mengatasi masalah projek terbengkalai dan rumah mampu milik.

6. Selagi tidak ada penjelasan konkrit, sudah pastilah perkara ini menjadi kebimbangan semua. Kita tidak mahu imej institusi diraja dicabar, dicalar dan diselar kerana pemberian kuasa/tugasan ini akan menjadikan setiap keputusan Sultan diperhalusi oleh bukan sahaja orag ramai tetapi ahli politik.

7. Hatta kedudukan institusi diraja yang bersifat berkecuali sekarang ini pun sudah ada pihak yang pertikaikan, malah mengemukakan saman, bayangkan keadaannya apabila perkara ini berubah?

8. Memang benar Sultan tidak ada kuasa eksekutif kerana Menteri Besar akan memberi ‘nasihat sebagaimana termaktub di dalam Bahagian Kedua Undang-undang tubuh kerajaan 1895 Fasal 7(1). Fasal ini jelas mengkehendaki Sultan mengikut nasihat tersebut.

9. Akan tetapi undang-undang tertakluk kepada tafsiran. Kebiasaannya tafsiran ini juga ditafsir berdasarkan undang-undang yang lain.

10. Jadual kelapan Perkara 1(A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan ‘His Royal Highness shall accept and act in accordance with such advice’. Ini bermaksud nasihat daripada kerajaan adalah mutlak dan wajib diterima. Akan tetapi, perlu dijelaskan di sini bahawa Perkara 1(A) tidak terdapat di dalam Perlembagaan Negeri Johor, Kelantan, Kedah dan Sarawak.[2]

11. Para akademik dan pengamal undang-undang boleh sahaja menafsirkan ketiadaan Perkara 1(A) ini sebagai kelompongan bahawa Sultan boleh memilih untuk menerima atau tidak nasihat yang diberikan kerajaan negeri. Sebelum perkara ini meleret dan dipanjangkan, tidakkah lebih baik jika insititusi diraja tidak disebut langsung di dalam rang undang-undang LPHJ ini?

12. Kerana rata-rata rakyat sayangkan institusi diraja lah maka kebimbangan ini timbul dan dipanjangkan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir dan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid. Ia sama sekali bukan salah faham biasa atau dipolitikkan oleh pembangkang.


Nota Kaki: Selepas artikel ini ditulis, kerajaan negeri bersetuju menukarkan perkataan ‘Raja’ kepada ‘Pihak Berkuasa Negeri’.

Soalnya, di dalam rang undang-undang yang sama sudah ada disebut terma ‘kerajaan negeri’ dan ‘Raja’. Siapakah yang dimaksudkan sebagai ‘Pihak Berkuasa Negeri’?



Cadangan peranan Sultan dalm LPHJ sebelum dipinda



Perkara 1(A) yang tidak termaktub di dalam Perlembagaan Negeri di 4 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Sarawak.



[1] Lihat gambar 2 seperti yang dilaporkan NST 9/6/2014

[2] Seperti yang dimaklumkan oleh Saudara Madzri di Twitter


Sumber : http://matrodi.my/2014/06/09/enakmen-lphj-johor/


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.