Sunday, July 20, 2014

#PrayForMH17 : Jangan Nilai Ekonomi Sekarang

pilihanraya kini     2:02 PM    



KOTA BHARU: Masih terlalu awal untuk menilai kesan iklim pelaburan negara di Ukraine dan Rusia berikutan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kesannya hanya akan mengambil tempoh masa tertentu, khususnya membabitkan hubungan dagang antara Malaysia dengan kedua-dua negara terbabit. 

"Macam MH370 dahulu, yang terjejas ialah sektor pelancongan, namun untuk MH17 ini, terlalu awal untuk kita buat satu penilaian.

"Kita akan pantau keadaan dan lihat macam mana ia berakhir, namun setakat ini kita belum jelas lagi kesannya kepada ekonomi negara kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengamal Media di sini, malam tadi. 

Tahun lalu, nilai eksport antara Malaysia dan Rusia kira-kira RM2 bilion dan nilai import RM3.7 bilion manakala nilai eksport Malaysia dan Ukraine sebanyak RM1.2 bilion manakala nilai import RM513.7 juta. 

Sementara itu, Mustapa berkata rakyat Malaysia kini perlu bersatu hati dalam menangani tragedi yang memilukan negara dengan tidak membuat perkara yang boleh memburukkan keadaan dan menimbulkan keresahan kepada keluarga mangsa terbabit. 

"Satu sidang khas Parlimen pertama akan diadakan Rabu ini dan diharap menerusi sidang khas ini, rakyat Malaysia akan bersatu melalui tragedi itu. 
"Selain itu, ia di harap dapat memberi tekanan kepada pihak antarabangsa untuk menjalankan siasatan yang telus dan rapi," katanya. 

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal, disahkan terhempas di Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. 

- BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.