Friday, July 4, 2014

Pesan Ustaz Kazim Elias Berkenaan Artis Bertudung

pilihanraya kini     9:19 AM    


KUALA LUMPUR: Penceramah selebriti terkenal, Ustaz Kazim Elias menasihati artis-artis berhijrah iaitu mereka yang berhijab agar tidak sekadar tampil dengan pertukaran imej semata-mata tetapi hendaklah mendalami ilmu agama Islam secukupnya.

Ustaz Kazim atau nama sebenarnya Mohammad Kazim Elias, 42, berkata, perkara itu sebenarnya satu petanda yang baik kerana golongan berkenaan adalah ikon kepada peminat.

“Alhamdulillah… bagus ramai artis yang berhijrah ke arah kebaikkan kerana ia dapat mempengaruhi peminat mereka untuk melakukan perkara sama tetapi biarlah ia disertai dengan ilmu agama yang cukup.

“Jangan hari ini beritahu sudah berubah lalu mengenakan tudung dan terus hendak menjadi seorang ustaz atau ustazah kerana banyak perkara yang perlu didalami mereka terlebih dahulu,” katanya kepada mStar Online.

Ustaz Kazim ditemui pada sidang media program Kembara U.K.E yang diadakan di Berjaya Times Square di sini pada Rabu.

Tambah Ustaz Kazim, jika golongan berkenaan tidak mempunyai ilmu yang cukup, ia dibimbangi akan meninggalkan kesan sekiranya sesuatu kenyataan yang dibuat akan memakan diri sendiri.

Jelasnya lagi, artis yang berhijrah sepatutnya mempelajari ilmu agama Islam daripada guru bertauliah agar perubahan yang dilakukan menjadi lebih sempurna selain ia dilakukan kerana Allah.

“Jika asas dalam bidang agama tidak cukup bagaimana hendak berceramah kepada orang lain malah ia boleh menjadi risiko besar.

“Tambahan pula dengan teknologi hari ini apa yang kita perkatakan dalam masa lima minit ia akan tersebar di laman sosial dan YouTube. Jadi golongan ini harus berhati-hati dan belajar terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun Ustaz Kazim meminta agar masyarakat tidak mudah menjatuhkan hukuman dan mencari keburukan golongan tersebut.

Sebaliknya dia meminta masyarakat seharusnya sama-sama membantu memperbetulkan kesalahan yang dibuat segelintir golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim tidak menafikan ramai golongan artis sama ada secara peribadi atau berkumpulan datang kepadanya untuk bertanyakan soal agama yang menjadi kemusykilan mereka.

“Alhamdulillah saya sudah empat atau lima tahun banyak terlibat dengan golongan artis dalam program dan dari situ saya cuba dekati mereka dan berkongsi ilmu,” jelasnya.

Dalam pada itu mengenai program Kembara U.K.E. ia bakal merakamkan pengisian dakwah secara santai bersama peminat di atas kapal mewah Star Cruise ke beberapa destinasi menarik iaitu Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Phuket, Thailand.

Jelasnya lagi, kembara di atas kapal sentiasa menjadi impiannya dan dia bersyukur ia bakal terlaksana dengan kehadiran peminat.

“Insya-Allah kembara itu nanti melibatkan aktiviti seperti kuliyah selepas waktu Subuh dan Maghrib serta beberapa tazkirah lain seperti pada waktu matahari terbit dan terbenam.

“Malah setiap perjalanan pelayaran ini termasuklah aktiviti perjumpaan bersama masyarakat Islam di Langkawi dan Thailand,” ujarnya.

Kata Ustaz Kazim lagi, setakat ini sambutan terhadap kembara itu amat memberangsangkan di mana hampir 600 peserta sudah mendaftarkan diri untuk menyertainya.<

“Alhamdulillah biarpun belum menghebahkan secara rasmi namun sambutannya diluar jangkaan dan tempat kosong masih berbaki 100 orang sahaja,” katanya.

Kembara U.K.E. itu akan diadakan pada 24 hingga 27 Ogos depan dan Astro Oasis bertindak sebagai penyiar utama dengan kerjasama Intratama Travel Consultant & Tours dan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Malah pihak Astro Oasis akan menerbitkan program khas kembara itu yang akan disiarkan bermula 3 Oktober depan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Sebarang pertanyaan mengenai Kembara U.K.E boleh menghubungi 03-61850010 atau email kepada intratama@gmail.com.


http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/07/03/teguran-ustaz-kazim/


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.