Tuesday, July 22, 2014

#PrayForMH17 : Kad Kotak Hitam Tak Boleh Diubah

pilihanraya kini     5:56 PM    



KUALA LUMPUR - Data dalam kad memori kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis, tidak boleh diubah atau ditambah.

Ketua Penyelidikan dan Inovasi Pesawat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohd Suffian berkata data hanya boleh disembunyikan dengan mengasingkan beberapa data tertentu, namun ia masih boleh dikesan jika perkara itu berlaku.

"Sembunyikan data bukan bermaksud memadam maklumat di dalam memori kad tersebut, bagaimanapun apa yang boleh berlaku ialah sebahagian data telah diasingkan, disembunyikan.

"Kad memori juga tidak boleh ditukar kerana ia mempunyai nombor siri tersendiri yang sama dengan nombor pada kotak hitam tersebut dan boleh dikenal pasti melalui kilang yang mengeluarkannya," katanya kepada Bernama.

Mohd Harridon berkata kotak hitam diletakkan dalam satu perkakasan khas iaitu 'Crash Survivability Memory Unit (CSMU) yang mempunyai beberapa lapisan daripada aluminium tipis, silika dan titanium yang kuat dan tahan terhadap letupan pesawat.

Mengulas lanjut beliau turut memberitahu walaupun maklumat analisis daripada kotak hitam diperoleh, namun ia hanya akan memberikan 50 peratus gambaran untuk merungkai nahas pesawat MH17, manakala separuh lagi melalui analisis serpihan kapal terbang.

"Kita perlu analisis dua perkara, kotak hitam dan serpihan kapal terbang yang jatuh ke tanah perlu dikumpul, diukur dan laporan juga perlu dibua...proses analisis akan menjadi sukar jika serpihan-serpihan kapal terbang MH17 yang jatuh mempunyai banyak saiz kecil dan besar berselerakan, diubah dan dipindahkan daripada tempat asalnya.

Sementara itu, Pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata kotak hitam mempunyai dua komponen penting iaitu Voice Data Recorder (VDR) yang merupakan rakaman suara antara juruterbang dan pembantu juruterbang dan Flight Data Recorder (FDR) iaitu rakaman data-data pesawat.

"VDR dapat merakam perbualan juruterbang bersama pembantu juruterbang selama dua jam sebelum ia terhempas dan data FDR pula direkodkan sejak pesawat tersebut berlepas", katanya.

Kamarul Arifin berkata kemungkinan bunyi impak peluru jika betul MH17 ditembak pasti dapat dirakam oleh kotak hitam pesawat tersebut.

Beliau berkata Malaysia wajar mendapatkan kepakaran dari luar negara untuk mengendalikan siasatan terhadap kotak hitam pesawat MH17 kerana memerlukan instrumen serta orang berpengalaman dalam bidang tersebut.

Data kotak hitam berkemungkinan akan rosak jika komponen elektronik itu disalahgunakan, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Putrajaya pada Isnin malam bahawa kotak hitam itu akan diserahkan kepada pasukan Malaysia pada jam 9 malam (2 pagi di Malaysia) selepas beliau berhubung dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah bergolak tempat pesawat itu terhempas.

Pesawat MAS, MH17, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, utara Ukraine, dekat sempadan Rusia pada Khamis malam.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu dipercayai telah ditembak jatuh. 

Sumber- Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.