Tuesday, July 22, 2014

#PrayForMH17 : Kejayaan DS Najib Membanggakan!!

pilihanraya kini     9:01 PM    


KUALA LUMPUR - Kejayaan Malaysia mencapai persetujuan dengan pemimpin yang menguasai wilayah lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, merupakan satu perkembangan membanggakan, kata bekas ketua juruterbang serantau MAS Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain.

Katanya, walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil, namun kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat mencari penyelesaian isu terbabit.

"Tahniah saya ucapkan kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana telah berjaya mencapai persetujuan dengan mereka dengan cara yang cukup berkesan.

"Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya berbangga kerana kerajaan kita sentiasa berusaha untuk mencari jawapan kepada insiden itu dan membawa pulang mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, walaupun ada negara kuasa besar yang sebelum ini mendesak pihak yang menguasai wilayah itu untuk membenarkan pasukan penyiasatan masuk ke kawasan itu, namun Perdana Menterilah yang telah berjaya meyakinkan mereka.

Dalam sidang media tengah malam tadi, Najib berkata, kerajaan telah mencapai persetujuan dengan Alexander Borodai yang bersetuju untuk memindahkan 282 mayat ke Kharkiv sebelum diserahkan kepada para wakil dari Belanda untuk siasatan forensik.

Borodai juga bersedia menyerahkan kotak hitam pesawat MH17 kepada pasukan Malaysia di Donetsk, selain memberi jaminan keselamatan kepada para penyiasat bebas antarabangsa yang akan masuk ke lokasi nahas untuk memulakan siasatan penuh tentang tragedi itu.

Anggota keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 memuji kesungguhan kerajaan kerana berjaya mencapai persetujuan dengan Borodai bagi membawa pulang mayat ke negara ini.

Sepupu Ariza Ghazalee, 46, yang maut dalam nahas itu, Zurusdi Mohd Hol, 46, ketika dihubungi Bernama hari ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang bekerja keras menunaikan permintaan anggota keluarga berkenaan. 

"Daripada awal lagi saya bersyukur pihak Malaysia Airlines dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah ini.

"Dengan pengumuman yang dibuat Datuk Seri Najib ini memberi harapan yang cerah kepada keluarga untuk menyemadikan jenazah dengan baik kerana boleh dibawa balik ke tempat asal," katanya.

Ariza bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan empat anak mereka berumur antara 13 hingga 19 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang semula ke Malaysia setelah tiga tahun berada di luar negara.

Sementara itu, ibu pembantu juruterbang pesawat itu, Noriah Daud, 57, pula berkata pengumuman Najib itu menyenangkan hatinya sebagai seorang ibu kepada Ahmad Hakimi Hanapi 29 tahun.

Beliau bersyukur kerana mayat anak ketiga daripada empat beradik itu boleh dikebumikan di tanah air sendiri dengan sempurna.

"Saya senang hati apabila dapat tahu daripada pengumuman Datuk Seri Najib ini. Kesungguhan Datuk Seri Najib ini sangat bagus kerana apa yang dijanjikan kepada anggota keluarga ditunaikan...sebelum ini saya ada bercakap dengan Datuk Seri Najib," katanya.

Noriah berkata mayat anak lelaki tunggalnya itu nanti akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Putrajaya memandangkan beliau bersama suami menetap di Cyberjaya.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 orang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh Khamis.

Kejayaan Malaysia mencapai tiga persetujuan penting itu amat bermakna memandangkan Malaysia tiada sebarang kepentingan geopolitik di kawasan yang bergolak itu.

Penganalisis Antarabangsa dan Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ravichandran Moorthy berkata kumpulan itu lebih senang untuk berunding dengan Malaysia kerana selama ini negara ini tidak pernah bermusuh dengan mereka, tidak seperti kebanyakan negara-negara Eropah yang lebih mengambil pendekatan tegas dengan memberi kecaman ke atas puak pemisah ini.

"Mungkin juga mereka sukar untuk berunding dengan Kerajaan Ukraine sendiri kerana mereka adalah musuh, jadi lebih senang untuk Malaysia berunding dengan mereka kerana kita (Malaysia) bukan musuh mereka malah kita adalah mangsa dalam insiden ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Walaupun persetujuan seumpama ini jarang sekali berlaku namun ia menunjukkan pendekatan secara lembut yang dilaksanakan Perdana Menteri membuahkan hasil walaupun kumpulan itu didesak negara-negara Barat dan organisasi-organisasi antarabangsa yang lain, kata Dr Ravichandran.

"Ini bermakna objektif jangka pendek penyiasatan insiden pesawat ini telah tercapai, jadi sekarang kita perlu melihat bagaimana Malaysia akan bertindak untuk fasa seterusnya iaitu selepas penyiasatan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Ahli Geostrategist Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata persetujuan itu merupakan satu kejayaan bermakna dan memberi petanda yang positif dalam penyiasatan insiden ini.

"Jika kita (Malaysia) berjaya mendapatkan persetujuan dalam situasi yang kritikal seperti ini, maka ia merupakan satu petanda positif," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Pendekatan ini wajar diambil oleh Perdana Menteri yang perlu melaksanakan janjinya yang antara lain membawa pulang semua jasad rakyat Malaysia sebelum Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan. 

- Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.