Sunday, July 20, 2014

#PrayForMH17 : Menteri Pengangkutan, Ketua Pengarah DCA Berlepas ke Amsterdam Sabtu Malam

pilihanraya kini     8:48 AM    



Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama enam delegasi bertolak ke Ukraine pukul 11.59 Sabtu malam bagi membantu operasi pasukan Malaysia dalam insiden penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang terhempas di timur Ukraine, Khamis lepas.

Beliau berkata mereka akan transit di Amsterdam sebelum ke Kiev dan dijangka sampai pada pukul 1 petang Ahad waktu Ukraine.
"Ini adalah tugas dan saya diarahkan ke Kiev dan saya pasti kami akan dapat memudahkan pergerakan pasukan penyiasat ke lokasi kejadian," katanya.

Delegasi ke Kiev termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Pengerusi Malaysia Airlines dan penyiasat.

"Saya tidak dapat memastikan berapa lama saya akan berada di sana... saya perlu memastikan segala proses perundingan dan kerja-kerja pencarian maklumat dapat dilaksanakan dengan baik," katanya kepada pemberita sebelum memasuki balai berlepas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu malam.

Menyentuh mengenai bilakah keluarga mangsa akan di bawa ke lokasi kejadian beliau berkata keselamatan keluarga mangsa perlu diutamakan kerana kawasan itu tidak selamat.

"Kita kena pastikan keselamatan mereka sebelum mereka boleh dibawa ke sana, perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui sidang media kemudian," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan serta Menteri Luar Ukraine.

Liow berkata beliau juga akan memastikan pasukan penyiasat Malaysia dapat berjumpa wakil Biro Kemalangan Nasional Ukraine yang telah membentuk sebuah suruhanjaya khas untuk menyiasat insiden itu.

Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, timur Ukraine, tidak jauh dari sempadan Rusia pada malam Khamis.

Laporan media asing menyebut pesawat itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.




0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.