Tuesday, August 26, 2014

PERKASA Ingin Jadi Orang Tengah?

pilihanraya kini     11:30 AM    



Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad secara tertutup bagi menyelesaikan 'masalah' antara mereka.

Ibrahim juga berkata, beliau turut berharap agar kedua-dua pemimpin itu dapat menegur dan menerima pandangan masing-masing secara profesional ketika pertemuan tersebut diadakan.

"Yang penting kita berharap Tun dan Najib dapat bertemu betul-betul. Tun perlu bersedia dengan Najib dan Najib kena bagi ruang pada Tun dan terima pandangan. Mana yang baik, terima. Terima secara profesional.

“Saya yakin Tun boleh terima," katanya kepada Malaysiakiniselepas mesyuarat ahli dewan tertinggi PERKASA semalam.

Selain itu, Ibrahim berkata, dalam mesyuarat semalam, mereka turut berbincang untuk bertemu secara tertutup dengan Dr Mahathir bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung penulisan di blognya.

Dalam tulisannya itu, Dr Mahathir menarik balik sokongan kepada Najib selepas mendakwa prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain itu, Dr Mahathir juga berkata Najib dilihat terlalu lembut dan sering berdiam diri dalam isu-isu penting negara.

Mengulas lanjut, Ibrahim turut meminta agar bekas perdana menteri itu dapat memberikan ruang kepada PERKASA untuk mendengar penjelasan daripada beliau secara dari hati ke hati.

"Kita bincang panjang mengenai isi tulisan Tun dan ambil maklum kenyataan pemimpin-pemimpin Umno. Kita tak mahu buat apa-apa keputusan.

"(Oleh itu) kita akan mohon untuk bertemu Tun secara tertutup untuk dengar penjelasan Tun dari hati ke hati. Saya harap Tun dapat beri masa untuk PERKASA bertemu Tun selepas Tun pulang dari luar negara. Selepas dengar penjelasan Tun, jika perlu, kita akan mohon bertemu Najib pula.

"Sebelum semua ini berlaku, kita akan mengikuti perkembangan dan takkan melatah. Kita takkan mengeruhkan suasana," katanya lagi.

Sumber : MalaysiaKini


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.