Tuesday, August 26, 2014

#PrkPengkalanKubor : PAS Boleh Menang??

pilihanraya kini     9:43 AM    



SHAH ALAM - Pas lebih berpeluang untuk merampas kerusi Dun Pengkalan Kubor daripada BN, berbanding calon PKR.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, budaya politik orang Kelantan memang sukar untuk terima PKR, termasuk di Pengkalan Kubor.

"Banding dengan PKR, mereka lebih mudah terima BN yang dianggap pilihan tradisi. Sudah tiga penggal BN pegang Pengkalan Kubor, " katanya. 

Menurut Samsu Adabi, keadaan bagaimanapun akan jadi berbeza jika Pas meletak calonnya untuk mencabar BN.

"Kalau Pas yang letak calon, saya percaya akan berlaku pertembungan sengit. Kemungkinan Pas untuk menang juga boleh dianggap tinggi," katanya lagi.

Pada PRU13, calon BN, Datuk Noor Zahidi Omar memenangi kerusi Dun Pengkalan Kubor untuk penggal ketiga, menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim dengan majoriti 1,736 undi. 

Seorang lagi calon, Izat Bukhary Ismail Bukhary sekadar mampu mengutip 65 undi.

Dewan Muslimat Pas Kelantan pada Sabtu lalu menuntut kerusi Pengkalan Kubor yang diberikan Pas kepada PKR dipulangkan semula selepas PKR gagal merampasnya daripada BN bagi dua penggal berturut-turut.

Menurut Samsul Adabi, kesukaran PKR memenangi hati masyarakat di situ berkemungkinan akibat latar belakang parti yang tidak menentu, walaupun PKR diketahui berada dalam pakatan bersama Pas.

"Sentimen masyarakat di Pengkalan Kubor, jika mereka pilih Pas adalah kerana parti itu dekat di hati mereka dan BN pula merupakan parti tradisi mereka.

"Selain itu, faktor agama adalah perkara utama yang boleh buat orang mengundi Pas, manakala BN banyak pengalaman pembangunan di kawasan itu," katanya.

Ketika mengulas jika calon PKR diletakkan di Pengkalan Kubor adalah anak tempatan, Samsu Adabi berkata, kelebihan dilihat tetap memihak kepada BN kerana secara tradisinya, hanya BN dan Pas yang 'laku' di negeri itu.

Sumber : Sinar 


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.