Sunday, September 21, 2014

Etak Salai Turut Terima Tempias PRK Pengkalan Kubor

pilihanraya kini     3:30 PM    



Etak salai turut terima tempias Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sehingga terjual sebanyak 30 kilogram dalam tempoh lima jam.

Etak salai itu sebelum ini hanya popular dalam kalangan penduduk tempatan namun mendapat sambutan luar biasa dengan dengan kehadiran penyokong dan anggota parti politik dari luar yang berkampung di sini bagi PRK itu.

Etak dalam dialek Kelantan adalah sejenis cengkerang dan disalai dengan menggunakan serai, garam dan bawang putih serta menjadi sumber mata pencarian bagi kebanyakan penduduk di kawasan pinggir sungai di Pengkalan Kubor di sini.

Seorang peniaga, Siti Esah Mat Ali, 57, dari Kampung Palekbang, di sini mampu meraih pendapatan sehingga RM500 sehari sejak seminggu yang lalu.

"Sebelum ini saya jual dalam 20 kg sehari tetapi melihat kepada permintaan yang tinggi sejak musim PRK ini saya menambah bekalan kepada 30 kg sehari," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau yang menjadikan perniagaan itu sebagai mata pencarian sejak 24 tahun itu berkata bekalan etak mentah diambil daripada pemborong.

Etak salai yang dibungkus dengan menggunakan kertas itu dijual dengan harga RM12 sekilogram.

"Bergantung kepada permintaan pelanggan kadangkala ada juga yang beli tiga kg untuk dibawa balik ke negeri mereka," katanya.

Seorang lagi peniaga etak salai Wan Robiah Wan Ibrahim, 42, berkata sejak dua tahun mengusahakan perniagaan di Kampung Ke Pulau itu sambutan sentiasa menggalakkan dan meningkat pada musim cuti kerana kehadiran pelancong.

"Tetapi sejak seminggu yang lalu saya perlu menempah bekalan makanan laut itu sebanyak 40 kg berbanding sebelum ini hanya 20 kg," katanya.

Wan Rodiah yang dibantu seorang pekerja berkata memulakan perniagaan seawal pukul 8 pagi dan selalu menutup perniagaan setelah etak salainya habis dijual.

Sementara itu, seorang penggemar etak salai dari Terengganu berkata beliau rasa etak salai di sini berbeza berbanding yang dimakan sebelum ini.

"Pertama kali saya cuba etak salai di sini, rasanya lemak dan sedikit pedas memberi kelainan," katanya yang berkampung di Kelaboran sempena PRK ini.

Kawasan Pengkalan Kubor menjadi begitu sesak dengan kehadiran penyokong-penyokong parti politik dari seluruh negara yang berkempen untuk memastikan calon parti mereka menang dalam pemilihan pada 25 Sept ini.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.


Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.