Wednesday, September 24, 2014

Kain rentang BN di Pengkalan Kubor dikoyak

pilihanraya kini     12:30 PM    

Perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kira-kira 20 kain rentang Barisan Nasional (BN) yang dipasang sekitar kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor di sini.
    
Kejadian itu disedari jentera BN setelah membuat rondaan semalam dan mendapati kain rentang berkenaan dikoyak manakala tiang aluminium yang menyangkut poster pula dirosakkan.
   
Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Abdul Aziz menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan politik kotor.
    
"Hari ini, hampir 20 kain rentang yang kita pasang di kawasan Dun ini telah dirosakkan bahkan besipun dipotong, bererti mereka mengambil tindakan ini secara terancang kerana kerangka besi itu tidak boleh dirobohkan dengan sewenang-wenangnya tanpa menggunakan peralatan tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Justeru, beliau menasihati penyokong Barisan Nasional (BN) agar tidak mengambil sebarang tindak balas yang boleh menimbulkan kekecohan.
     
PRK itu diadakan berikutan kematian Adun Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas.
    
PRK Khamis ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
    
Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. -

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.