Sunday, September 14, 2014

Masyarakat Di Pengkalan Kubor Tidak Perlu Bimbang Tahap Keselamatan Di Sempadan

pilihanraya kini     4:35 PM    


 Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor tidak perlu khuatir mengenai tahap keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini, ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan ACP Dahlan Mohd Noor berkata kekuatan anggota pasukan keselamatan mencukupi untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

"Kita ada polis Marin yang sentiasa mengawal kawasan perairan Malaysia-Thailand dan anggota tentera serta Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berkawal di kawasan darat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pemantauan di kawasan sempadan sentiasa dilakukan bagi mengawal kegiatan jenayah dan kemasukan warga asing.

"Jadi masyarakat jangan bimbang dan kita rasa warga asing lebih takut untuk datang ke sini kerana pihak berkuasa lebih ramai di kawasan ini," katanya.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, 48, akan ditentang calon PAS iaitu Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, Nor Zahidi mengalahkan calon PKR Shaharun Ibrahim dan Izat Bukhary yang juga bertanding sebagai calon Bebas dengan majoriti 1,736 undi.

Hari pengundian akan diadakan pada 25 Sept ini.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.