Friday, September 12, 2014

Mat Razi ikrar teruskan legasi BN di DUN Pengkalan Kubor

pilihanraya kini     5:00 PM    


Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ali berikrar akan meneruskan rekod cemerlang BN di kawasan tersebut jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 25 Sept ini.

Mat Razi, 48, yang lebih dikenali sebagai ‘ustaz’, berkata beliau telah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk memikul amanah besar bagi menyambung legasi wakil rakyat kawasan berkenaan, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.

"Allahyarham Datuk Di (Noor Zahidi) adalah idola saya dan besar juga harapan bagaimana untuk meneruskan legasi perjuangannya walaupun mengakui ketokohan Allahyarham tiada galang gantinya.

"Saya masih terkejut dengan semua ini tapi ini kehendak Presiden dan parti.

Saya akur dengan takdir ini dan berharap agar semua rakan dalam bahagian akan dapat menyokong dan membantu saya," katanya kepada pemberita pada hari Khamis.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mat Razi sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kubor.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian pada 25 Sept ini.

Mat Razi adalah bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan beliau disegani oleh kawan dan lawan kerana menjadi pengasas Sekolah Pondok Simpangan di sini atas tanah yang diwakafnya pada tahun 2012.

Sekolah pondok tersebut mempunyai 50 orang pelajar setahun yang  mengikuti pengajian agama secara percuma.

Mat Razi, yang juga Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat, berkelulusan Sarjana Muda Sejarah dan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lepasan Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Kedah.

Mat Razi berkata jika dirinya dipilih sebagai wakil rakyat, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan tugasnya sebagai guru agama di pondok yang diasasnya itu kerana ia merupakan rutin tetapnya sebelum ini.

"Saya mengajar al-Quran dan fardu ain kepada pelajar dari usia 13 hingga 20 tahun setiap malam dan ini semua tidak akan melalaikan saya jika ditakdirkan menjadi wakil rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata hasil tinjauan menerusi gerak kerja pergerakan itu mendapati ramai pengundi menyambut baik pemilihan Mat Razi sebagai calon BN.

"Kami dah mula menziarahi rumah ke rumah untuk bertemu penduduk dan berkongsi mengenai pembangunan yang dibawa oleh kerajaan pusat di negeri ini.

"Kami dapat maklum balas daripada orang ramai mengenai calon ini dan berpuas hati dengan calon yang diletakkan oleh pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Usahawan Wanita Kelantan di Kelantan Trade Centre.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

"Beliau (Mat Razi) seorang anak tempatan yang bermastautin di kawasan tersebut, beliau juga merupakan anak didik Allahyarham dan mempunyai nilai etika kerja seperti Allahyarham.. kriteria ini memberi keyakinan kepada kami bahawa beliau mampu mengekalkan kemenangan pada BN," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.