Wednesday, September 10, 2014

#NikAbduh : SIAPA SEBENARNYA PENGKHIANAT??

pilihanraya kini     11:52 AM    





PRESIDEN Pas dituduh khianati PR kerana namakan calon MB daripada Pas. Mari amati kisah pengkhianatan. Hakikatnya, pengkhianatan lebih awal bermula daripada dua gerangan yang saling berkerjasama;

1) 2 pengkhianat daripada Adun Pas yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman Pas.

2) Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan Pas dalam PR apabila menerima pengkhianatan dua Adun Pas dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

Sebagaimana 2 Adun itu memutuskan wala' dan kesetiaannya kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan kesetiakawanannya dengan Pas.

Siapa pun yang menginsafi, dia akan memahami apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh Presiden Pas apabila;

1) Partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri.

Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam Pas sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan dua Adun ini.

2) Partinya dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.

Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR- pergolakan dalam PR akibat Pas kehilangan taruhan kuasanya di dalam menentukan kelangsungan kerajaan TSKI yang Majlis Syura Ulama Pas putuskan untuk mempertahankannya.

Apa pilihan yang harus dilakukan Presiden? Ada dua pilihan;

1) Terus bertindak drastik dan keras dengan mendorong parti Pas ke arah keluar daripada PR. Pengkhianatan, daripada sudut hukum, semestinya menjadi faktor utama pembatalan tahaluf siyasi.

2) Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman Pas dan hubungan dengan PKR dan PR.

Presiden telah memilih pilihan kedua.

Tindakan itu telah menerima pujian awam apabila Pas melalui mesyuarat 17 Ogos 2014, memutuskan bersetuju memberikan sokongan sementara kepada TSKI (Ini pastinya dilihat bercanggah dengan keputusan asal Majlis Syura Ulama dan mengejutkan pihak yang menyokong TSKI) dan mengemukakan dua nama calon MB baru, termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail(yang juga dilihat bercanggah dengan keputusan asal Majlis Syura Ulama).

Lihat, alangkah berjiwa besarnya Presiden. Beliau mampu mempengaruhi Majlis Syura Ulama agar menerima hakikat PR perlu diselamatkan.

Malang tak berbau!

Keputusan 'emas' itu hanya mampu bertahan lima jam!

Petangnya, tanpa kehadiran Presiden Pas, mesyuarat PR memutuskan hanya satu nama akan dipersembahkan kepada istana iaitu Wan Azizah. Alasan penarikan diri Azmin Ali adalah menarik dan diterima.

Di sinilah bermula Pas dilabel sebagai parti U-turn.

Presiden kini berhadapan dua kemelut yang tiba-tiba;

1) Kegagalan wakil Pas ke mesyuarat PR yang diketuai Timbalan Presiden untuk mengembalikan semula keputusan penarikan diri Azmin Ali ke meja mesyuarat Pas. Menghantar hanya satu nama ke istana bukan sama sekali keputusan mesyuarat Pas yang telah menetapkan dua nama.

Ia bermaksud presiden berhadapan situasi kritikan dalaman yang tajam akibat keputusan yang lemah dalam mesyuarat PR.

2) Ketegangan dengan pihak istana yang memberi isyarat awal penolakan terhadap pencalonan Wan Azizah. Tambahan pula, istana masih memberi sokongan padu kepada TSKI.

Menjaga hubungan dengan pihak istana adalah polisi Pas yang diterima masyarakat awam yang mahukan keharmonian di antara institusi kuasa diwujudkan.

Apa pula yang presiden harus lakukan selepas badai hanya mampu bertenang sekadar lima jam?

Ya, presiden terus dengan sikap budiman. Beliau menerima hakikat bahawa kelemahan adalah daripada dalam partinya sendiri. Beliau segera ke Kota Bharu, bertemu Mursyidul Am untuk bergagah dengan nilai budimannya itu pada kekuatan suara putus daripada ketua Majlis Syura Ulama. Mursyidul Am telah memberi sokongan padu.

Keadaan mendung tidak berakhir dengan hari yang kembali cerah, malah kilat dan petir mula bersambaran. Tiba-tiba isu SD timbul.

13 Adun Pas diasak oleh PKR agar menanda tangani SD menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar baharu. Ia menimbulkan ketegangan dan kekeruhan yang bertambah di dalam dan di luar Pas.

Presiden mesti bertindak dan mestilah segera!

Mesyuarat Pas pada 25 Ogos 2014 keluar dengan keputusan baru yang mengejutkan. Pas memutuskan tidak menghantar sebarang nama dan menyerahkan kebijaksanaan memutuskan isu MB kepada pihak Istana.

Mesyuarat itu dilaporkan kemudiannya bahawa Presiden menggunakan kata putusnya sendiri dan dilapor tidak menerima pandangan majoriti ahli.

Pas mula dipermainkan rakan-rakannya sendiri.

Kemudian, apabila istana membuat keputusan meminta setiap parti menghantar lebih dua nama, PR terus gagal untuk bersatu.

Malah, kemelut dipanaskan dengan isu Presiden Pas mengajak Azmin Ali belot terhadap partinya. Walaupun dinafikan, api itu enggan dipadamkan dan sengaja dibiarkan.

Sekarang, mari kita lihat;

1) Adakah PKR melihat dan memuliakan sikap toleransi yang tinggi itu daripada Presiden Pas? Tidak bukan?

2) Adakah anda melihat sebarang usaha pengenduran daripada PKR di dalam mengurangkan ketegangan dengan Pas? Tidak bukan?

3) Adakah tindakan budiman presiden Pas berjaya meredakan ketidakpuasan beberapa pemimpin Pas yang terus mengkritik beliau, malah terus memuja pengkhianatan dua Adun itu? Tidak bukan?

4) Adakah dalam tempoh tu, DAP sebagai rakan PR berusaha memberi sedikit nafas kepada kestabilan PR? Tidak bukan?

5) Adakah situasi ini berjaya memikat pihak istana untuk menerima penyelesaian daripada dalaman PR? Tidak bukan?

Jadi, siapakah yang memulakan pengkhianatan dan siapakah yang meneruskannya?

Mari melihat kesimpulan saya..

Hari ini, anda melihat apa yang pernah saya tulis sebelum ini bahawa Pas atau Presiden Pas telah sampai ke tahap toleransi tertinggi. Selepasnya, jika tidak disambut baik, maka toleransi berakhir dan Presiden Pas akan mula bertindak..

Saksikan..

Presiden putuskan bahawa PKR dan DAP tidak perlu lagi diajak berunding.. no more

Presiden putuskan untuk menangani isu dalaman Pas dengan caranya sendiri.. juga, no more

Akhir daripada saya, jika semalam anda melihat intimnya hubungan beberapa pemimpin Pas dengan rakan PKR dan DAP untuk mematikan langkah Presiden sendiri, hari ini pula anda sedang melihat para ulama dan pencinta kepimpinan ulama sedang bersahutan dan bertautan menyokong tindakan baharu presiden Pas.

Dan anda telah pun tahu apa sikap saya dan di mana saya. Saya enggan mengelirukan..

Selamat bertarung di 'KuborMove'.. Jumpa di sana.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
AJK Pas Pusat


Sumber : Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.