Wednesday, September 24, 2014

Pengkalan Kubor Perlukan ADUN Rapat Dengan Kerajaan Persekutuan - Wee Ka Siong

pilihanraya kini     1:00 PM    

Pengkalan Kubor memerlukan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai kelebihan atau hubungan rapat dengan kerajaan persekutuan, bagi membolehkan segala pembangunan dilaksana secara berkesan di kawasan itu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata, dalam konteks itu, hanya calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail, boleh menjalankan tanggungjawab berkenaan.

"Daripada segi isu yang dibangkitkan oleh pembangkang, saya rasa ia tidak berbisa kerana (PRK) ini lebih kepada soal siapa yang boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat secara berkesan.

"Kita perlukan seseorang yang mempunyai kelebihan di peringkat persekutuan pada waktu yang sama boleh melakukan 'imbangan dan sekatan' dengan kerajaan negeri," kata Wee kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama pengundi masyarakat Siam di Tumpat, Selasa malam.

Justeru, katanya, pengundi di DUN Pengkalan Kubor perlu memikirkan secara mendalam mengenai perkara itu dan membuat keputusan dengan bijaksana pada hari pengundian Khamis ini.

Wee yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, satu faktor yang boleh dijadikan asas pertimbangan pengundi dalam menentukan wakil rakyat mereka adalah pembangunan yang konsisten di DUN Pengkalan Kubor yang boleh dibawa oleh Mat Razi.

PRK itu diadakan berikutan kematian bekas wakil rakyat kawasan itu Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.