Saturday, September 13, 2014

Pertandingan Tiga Penjuru Di PRK N01 Pengkalan Kubor

pilihanraya kini     2:23 PM    



Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Barisan Nasional (BN) dan PAS sekali lagi akan berdepan seorang calon Bebas.
Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kini bersedia di pusat penamaan calon bersama dua orang pencadang.
Pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi dan kini ketiga-tiga calon sudah bersedia di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat bagi menyerahkan borang pencalonan mereka.
Calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim menghantar borang pencalonannya tepat pada 9.05 pagi, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mail pada 9.06 pagi manakala Izzat pada 9.13 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan pencalonan mereka dan tiada yang ditolak.
Semasa PRU13 lalu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar berjaya memenangi kerusi Pengkalan Kubor dengan majoriti 1,736 undi mengalahkan calon PKR yang hanya memperoleh 8,438 undi.
PRK Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian Noor Zahidi kerana menghidap penyakit kanser pada bulan lalu.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjangkakan pilihan raya kali ini akan memberikan saingan sengit kepada parti bertanding kerana BN tidak memenangi majoriti besar pada PRU13 lalu.
Katanya, kempen yang akan difokuskan Pemuda Umno adalah lebih mendekati pengundi secara peribadi kerana ia lebih berkesan daripada ceramah secara besar-besaran.
“Pilihan raya kali ini boleh dikatakan sengit pertandingannya sebab dulu walaupun kawasan BN, menang pun tak banyak.
“Kita kena kerja kuat untuk memastikan kemenangan. Kita tak boleh ambil mudah kawasan ini bahawa kita akan menang sekali lagi.
“Usaha untuk mendekati pengundi mesti berjalan rancak. Kalau boleh diadakan program kecil-kecilan yang lebih fokus kepada pengundi. Ceramah besar-besaran tak berapa efektif kerana ia lebih kepada pendekatan personal.
“Perubahan calon lawan juga tidak akan membawa kesan kepada kita kerana kita lebih tertumpu kepada strategi sendiri kerana sesiapa pun parti lawan, kita ada strategi sendiri,” katanya.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula menjangkakan mereka yang mengundi BN pada PRU13 lalu akan kembali mengundi PAS sebagaimana sokongan mereka di peringkat Parlimen.
“Kita yakin menang. Kita dulu pun menang 700 lebih (peringkat Parlimen). Yang mengundi dacing hari itu akan mengundi bulan juga.
“Di kawasan (Parlimen) Pengkalan Kubor kita menang, undi lebih 700. Kali ini PAS bertanding, dia (pengundi) bagi teruslah. Di Kelantan, calon bebas tidak kuat. Tidak mengancam apa-apa. Hanya menyemarakkan demokrasi,” katanya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut hadir memberi sokongan berkata parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sewajarnya memfokuskan kemelut di Selangor berbanding bertanding di Pengkalan Kubor.
Katanya, pengundi Pengkalan Kubor akan menolak calon PR kerana berasa tidak yakin bagaimana pakatan pembangkang mengendalikan isu di Selangor.
“PKR dan PAS hari ini masih lagi berlaga. Saya rasa sepatutnya mereka perlu menyelesaikan masalah di Selangor dahulu kerana di Selangor tidak selesai lagi, tak perlu mereka turun padang ke sini.
“Saya rasa orang Pengkalan Kubor akan menunjukkan PR sudah bercelaru. PR tidak dapat memperjuangkan nasib rakyat di banyak tempat termasuk di Selangor,” katanya.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pertandingan-tiga-penjuru-di-prk-pengkalan-kubor#sthash.4DPEgwg6.dpuf

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.