Thursday, September 11, 2014

PRK Pengkalan Kubor: Calon Pas tidak semestinya ustaz

pilihanraya kini     6:00 PM    



Pas negeri tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon yang bukan berlatar belakang agama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, apa yang penting calon tersebut mempunyai corak kerja dan nilai sebagaimana seorang 'ustaz'.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, strategi lawan meletakkan seorang ustaz sebagai calon bukanlah isu besar tetapi yang lebih utama adalah ia 'perlawanan' antara Pas menentang UMNO.

"Calon kita di Kelantan ada pelbagai latar belakang, wakil rakyat kita dalam dewan undangan negeri (DUN) ada yang pentadbir, ustaz, jurutera, doktor dan sebagainya.

"Calon lawan kita ustaz tidak mengapa, apa yang penting Pas lawan UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Halaqah Wacana Pemikiran Tok Guru di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pas akan mengumumkan calonnya untuk PRK DUN Pengkalan Chepa dalam satu majlis di Pengkalan Kubor pada malam ini.

Dua nama disebut-sebut sebagai bakal calon dari parti itu seperti Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Setiausah Pas Kawasan Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang juga Penyelia DUN Pengkalan Kubor untuk bertanding di kawasan yang 'dipinjamkan' kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal sebelum ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian, Mat Razi Mat Ail sebagai calon BN untuk bertanding dalam PRK DUN Pengkalan Kubor. Mat Razi, 49, yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Mat Razi dikatakan menepati kriteria calon pilihan Barisan Nasional (BN) kerana selain mempunyai latar belakang pendidikan dan profesionalisme yang hebat.

Beliau juga seorang tokoh agama yang dihormati termasuk menjadi pengasas kepada sebuah sekolah pondok.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.