Wednesday, September 24, 2014

PRK Pengkalan Kubor: Giatkan Usaha Temui Rakyat, Tangkis Tomahan PAS - Mustapa

pilihanraya kini     12:59 PM    

Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berbaki sehari lagi, jentera Barisan Nasional (BN) diminta menggandakan usaha menemui pengundi berikutan serangan tohmahan PAS terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Jentera BN PRK DUN berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pemimpin PAS yang berkempen di PRK itu semakin giat memfitnah kerajaan Barisan Nasional termasuk dalam isu royalti petroleum dan Kelantan dianaktirikan dalam aspek pembangunan.

"Dalam ceramah dan kempen dari rumah ke rumah, mereka (PAS) menabur fitnah supaya pengundi membenci kerajaan Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan berkata walaupun isu royalti petroleum masih di peringkat mahkamah, PAS terus menggunakan isu tersebut untuk menimbulkan kebencian rakyat Kelantan kepada kerajaan BN.

"Pendirian kita jelas untuk menyelesaikan isu royalti ini melalui saluran mahkamah dan secara musyawarah kerana kita bersikap terbuka dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan Kelantan dan rakyat sendiri dapat menyaksikan pelbagai pembangunan yang dibawa ke negeri tersebut.

Sehubungan itu, Mustapa turut menasihati jentera BN agar berkempen secara berhemah dan bersabar dengan provokasi parti lawan di saat-saat akhir tempoh berkempen.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.