Saturday, September 13, 2014

#PRK Pengkalan Kubor: MCA tak perlu jadi wira

pilihanraya kini     4:04 PM    



Tindakan Ahli Jawatankuasa MCA pusat, Lua Choon Hann yang menggesa kerajaan PAS Kelantan supaya melupakan hasrat melaksanakan undang-undang hudud, adalah satu provokosi yang sengaja dicetuskan bagi menimbulkan kembali 'tekanan' di kalangan rakyat Malaysia.
 
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, Lua tidak perlu menjadi wira kepada penganut bukan Islam, apatah lagi dengan membuat gesaan yang dilihat sebagai tidak relevan.
 
Lua dalam satu kenyataan semalam menggesa PAS berikrar untuk melupakan hasrat melaksanakan hudud di hadapan mana-mana wat Buddha dalam kawasan DUN Pengkalan Kubor, bagi membuktikan keikhlasan parti berkenaan kepada agama bukan Islam dan orang bukan Islam, khususnya masyarakat Cina dan Thai.    
 
"Tak perlu menyibuk. Itu urusan orang Islam. Selama duduk di Malysia ini, mereka kena terima hakikat bahawa Malaysia negara Islam.
 
"Waktu kita menerima kerakyatan bukan Melayu di waktu kemerdekaan dulu, itu bukan bermakna kita tolak ansur terhadap hak-hak Melayu untuk melaksanakan apa yang patut mengikut Al-Quran dan sunnah," katanya kepada Antarapos.
 
Dalam kenyataan berkenaan, Lua berkata, PAS perlu mengambil kesempatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang akan berlangsung kelak untuk membuat pengumuman hasrat itu.
 
Apatah lagi katanya, PAS sekian lama menggunakan patung duduk Buddha yang terbesar di Asia Tenggara di kawasan itu  sebagai bukti parti itu bersikap terbuka dengan agama lain.
 
Malah Lua turut meminta DAP dan PKR, sebagai rakan gabungan PAS, supaya mengambil peluang itu untuk memaksa parti berkenaan melupakan hasrat melaksanakan undang-undang hudud demi keharmonian rakyat Malaysia. 
 
"Cukuplah mereka bercakap bagi pihak diri mereka.
 
"Dia tak boleh mengongkong atau memaksa orang Melayu menentukan siasah, politik dan hala tuju mengikut kehendak bukan Islam," katanya lagi.
 
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat pula meminta MCA mengajukan gesaan tersebut kepada Umno-Barisan Nasional (BN), dan bukannya kepada PAS.
 
"Hari itu Umno kata nak laksanakan, minta dia tanya kepada Umno dulu, bila nak umumkan (batalkan hudud)," ulasnya ringkas.
 
PRK Pengkalan Kubur akan berlangsung pada 25 September ini, dengan hari penamaan calon yang berlangsung hari ini.
 
DUN tersebut yang termasuk dalam lingkungan Parlimen Tumpat, terdiri daripada 92 peratus penduduk Melayu Islam, dan selebihnya terdiri daripada penduduk Cina dan Buddha berikutan bersempadan dengan Thailand.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.