Monday, September 22, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: Puteri Umno Kelantan Pengundi Muda

pilihanraya kini     10:47 PM    

Pergerakan Puteri Umno Kelantan giat meraih sokongan pengundi, terutama golongan muda, agar memilih calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Khamis ini.

Ketuanya, Marzuani Ardila Ariffin berkata anggota sayap itu bergerak ke seluruh kawasan DUN berkenaan untuk menemui pengundi.

"Mereka (pengundi muda) sebilangannya terdiri daripada lepasan institusi pengajian tinggi dan Sijil Pelajaran Malaysia yang masih menganggur," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau berkata ada juga kalangan mereka dikategori sebagai pengundi 'atas pagar' yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Katanya, antara isu penting yang dibangkitkan golongan ini ialah tiada peluang pekerjaan sehingga terpaksa melakukan kerja kampung seperti ibu bapa mereka.

"Selepas kita memberi penjelasan mengenai puncanya, iaitu disebabkan kegagalan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS menyediakan peluang pekerjaan, mereka mula menerimanya," katanya.

Marzuani Ardila juga berkata golongan muda yang ditemui berjanji akan mengundi calon BN pada Khamis ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian ADUN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.