Wednesday, September 24, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: Remaja Sokong BN - Puteri Umno

pilihanraya kini     12:47 PM    

Penerimaan pengundi di Pengkalan Kubor, terutama golongan muda, terhadap Barisan Nasional (BN) bertambah baik sekali gus menjanjikan sesuatu yang positif untuk pemimpin, anggota dan penyokong parti itu pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan Khamis ini.

Ketua Puteri Umno Cawangan Tebing Nik Nur Amilla Ahmad berkata hasil tinjauan serta kempen yang dijalankan pergerakan itu, didapati ramai remaja dan wanita berusia awal 20-an menyokong BN di Pengkalan Kubor.

"Kini tinggal dua hari lagi, kami menjalankan kempen dengan berkunjung dari rumah ke rumah di Pengkalan Kubor dan memujuk penduduk di sini supaya menyokong BN pada PRK kali ini." "Ramai golongan muda kini memberikan reaksi yang amat baik terhadap kempen kami sekali gus menunjukkan mereka menyokong kita dan berharap mereka akan memilih calon kita, Mat Razi Mat Ail, pada PRK DUN Pengkalan Kubor," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kemungkinan BN mencapai kemenangan pada PRK kali ini amat tinggi kerana calon BN sangat dikenali dan rapat dengan penduduk di sini.

"Saya percaya dia (Mat Razi) dapat menjaga kebajikan masyarakat di sini sepertimana yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar (ADUN Pengkalan Kubor)," katanya.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Puteri Umno cawangan Bunohan Norliza Mohammad, 27, berkata beliau amat yakin kemenangan akan berpihak kepada BN.

"Saya yakin sangat-sangat Mat Razi akan menang sebab dia seorang yang berpengaruh di sini, dia merupakan seorang ustaz dan dia juga telah membina pondok untuk anak-anak di sini belajar agama," katanya.

Anggota Puteri Umno bahagian Bunohan Salwani Mat Radin, 25, pula berkata bantuan yang dihulur kerajaan pusat kepada penduduk di sini menyebabkan pergerakan itu yakin rakyat akan terus menyokong BN.

"Bantuan yang banyak masuk di kawasan ini adalah daripada kerajaan pusat seperti BR1M, KWAPM dan banyak lagi dapat kita lihat dengan jelas, dan bantuan ini tidak memilih penerima dari parti apapun," katanya.

Beliau berkata Allahyarham Noor Zahidi juga tidak pernah pilih kasih dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat dan sentiasa berusaha untuk membantu mereka.

PRK itu, yang diadakan berikutan kematian Noor Zahidi pada 20 Ogos lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.