Friday, September 19, 2014

#PRK PENGKALANKUBOR: Tohmahan Mungkin Hanya Kerana Pilihan Raya - Zahid Hamidi

pilihanraya kini     3:00 PM    


Pengundi di Pengkalan Kubor diminta tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana ia mungkin dilakukan hanya kerana pilihan raya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat beberapa kes sebelum ini yang pihak pembangkang menuduh kerajaan BN melakukan penyelewengan, tetapi menarik balik fitnah itu apabila kes dibawa ke mahkamah.

"Banyak kes (tuduhan) yang dibuat pembangkang dan dibawa ke mahkamah tetapi akhirnya diselesaikan di luar mahkamah dan mereka memohon maaf.

"Saya sendiri ada beberapa kes yang orang menuduh saya menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan, tetapi bila saya bawa ke mahkamah dia minta maaf dan menarik balik tuduhan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama petugas Polis Diraja Malaysia Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, di sini pada Khamis.

Justeru, Ahmad Zahid berharap pengundi di Pengkalan Kubor dapat menilai perkara itu dan tidak mudah mempercayainya kerana mungkin ada antara fitnah tersebut bersifat 'sementara' semata-mata mahu mempengaruhi pengundi.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis menerima dua laporan berkenaan kandungan ceramah yang didakwa berunsur fitnah dan hasutan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, di sini setakat ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kertas siasatan bagi kedua-dua laporan tersebut telah pun dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

"Polis sentiasa memantau semua ceramah yang dijalankan di Pengkalan Kubor sempena PRK di sini, tidak kira sama ada ceramah tersebut dijalankan oleh pembangkang atau BN, polis akan pantau dan jika ada laporan, polis akan menjalankan siasatan secara profesional," katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung gangguan oleh pihak-pihak tertentu terhadap mana-mana ceramah, sama ada dari pihak PAS atau BN.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN pada 20 Ogos lepas dan SPR menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.