Saturday, September 20, 2014

#PRKPengkalan Kubor : BN beri perhatian istimewa

pilihanraya kini     1:30 PM    


Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan diberikan perhatian istimewa oleh Barisan Nasional (BN) negeri ini sekiranya ia terus kekal di bawah parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) 25 September ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia bagi memastikan perjuangan dan perancangan yang dibuat oleh penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar diteruskan demi penduduk kawasan tersebut.

Beliau berkata, selain itu, ia juga untuk membantu calon BN, Mat Razi Mat Ail dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat sekiranya Pengasas Pondok Simpangan itu menang kelak.

"Saya amat dekat dengan Allahyarham yang pernah menjadi Setiausaha UMNO negeri selama dua penggal dan akhirnya menjadi timbalan saya (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan).

"Allahyarham telah melaksanakan pelbagai program untuk rakyat di kawasan ini dan ia perlu diteruskan di masa depan.

"BN mahu menyelesaikan beberapa perkara kecil yang masih tertangguh di DUN ini seperti masalah rumah dan longkang," katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan selepas Noor Zahidi meninggal dunia akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Kali ini, Mat Razi ditentang oleh calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas).

Mustapa yang juga Pengarah Jentera PRK DUN Pengkalan Kubor berkata, sejak 2004, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM206 juta untuk pembangunan di kawasan ini.

"Setiap tahun sejak 2004, Kerajaan telah telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta setahun untuk pelbagai projek pembangunan dan infratsruktur di situ.

"Ia merupakan usaha yang dilakukan oleh arwah untuk membangunkan kawasan ini selepas ia diabaikan oleh Pas sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, sehingga kini, kempen PRK itu berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini.

"Ada kata UMNO akan membawa samseng di sini. Saya tidak lihat seorang samseng pun ada di sini.

"Sebab itu jagalah mulut dan jangan celupar bila bercakap," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.