Wednesday, September 17, 2014

#PRKPENGKALAN KUBOR : Penduduk Bersyukur Kerajaan Bantu Naik Taraf Masjid Mukim Simpangan Hilir

pilihanraya kini     12:15 PM    


Terima kasih, hanya itu perkataan yang mampu diluahkan penduduk Kampung Simpangan apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa mengumumkan sumbangan berjumlah RM500,000 bagi menaik taraf Masjid Mukim Simpangan Hilir di sini.

Imam Muda masjid berkenaan Dollah Yaakob berkata beliau tidak menyangka akan menerima bantuan sebanyak itu dan ia amat bermakna demi memartabatkan agama Islam.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana mengambil berat kebajikan kami," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Zohor berjemaah bersama Muhyiddin di masjid itu.

Dollah berkata sejak masjid itu didirikan lebih 10 tahun lepas, pelbagai bantuan disalur oleh kerajaan Persekutuan demi keselesaan jemaah.

Katanya, bantuan kali ini akan dimanfaat untuk membaik pulih masjid selain menambah keluasan tempat ibadat itu, yang hanya boleh memuatkan 400 jemaah pada satu-satu masa.

Dollah berkata keprihatian Muhyiddin membuktikan kerajaan Persekutuan sentiasa memberi keutamaan dan menyokong pembangunan Islam di negara ini.

"Sumbangan ini sebenarnya telah melunaskan hasrat kami untuk menambah keluasan masjid bagi menampung jemaah sehingga 800 orang dalam keadaan yang lebih selesa," katanya sambil menambah masjid itu turut dikunjungi penduduk beberapa kampung berdekatan.

Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bantuan itu ketika melakukan lawatan singkat hari ini dalam program turun padang bersempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, yang berlangsung 25 Sept ini.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin sempat beramah mesra dengan lebih 20 pelajar Pondok Simpangan yang diasaskan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas, yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.