Friday, September 19, 2014

#PRKPengkalan Kubor : Polis beri jaminan tiada gangguan individu, kumpulan

pilihanraya kini     1:00 PM    


Polis memberi jaminan tidak akan ada gangguan sama ada oleh individu atau kumpulan tertentu sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor jika setiap parti bertanding mematuhi undang-undang pilihan raya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan sehingga kini, tiada laporan diterima pihaknya berhubung sebarang gangguan ketika berkempen atau ceramah oleh mana-mana parti.
"Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) sudah adakan 21 ceramah, sementara PAS, 15. Saya masih tidak terima apa-apa laporan (kekacauan) lagi setakat hari ini," katanya ketika ditemui media di Balai Polis Pengkalan Kubor, petang tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi amaran kepada rakyat Malaysia yang mempunyai dua kerakyatan untuk tidak dibenarkan membuang undi pada mana-mana pilihanraya termasuk PRK DUN Pengkalan Kubor, 25 September ini.
"Kalau dia warganegara Malaysia dan tinggal di Thailand, itu tiada masalah. Tapi kalau dia ada dua warganegara (contoh Malaysia dan Thailand), undang-undang kita tidak pernah benarkan langsung (untuk dia mengundi)," katanya.
Menyentuh mengenai tuduhan seorang penceramah PAS yang mendakwa wang royalti minyak diberi kepada negara jiran dan digunakan semula Thailand untuk menindas orang Islam di wilayah Tak Bai, Selatan Thai, beliau berkata itu tidak lebih sekadar tuduhan politik.
"Saya tak fikir ini masalah yang perlu dijawab. Ini kes kalau ada bukti, kita boleh bawa kepada mahkamah," katanya.
Berkaitan kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948, Ahmad Zahid menjelaskan sehingga kini polis ada menerima dua laporan oleh dua individu berkaitan fitnah dan hasutan oleh seseorang dan pihaknya masih menyiasat laporan itu.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.