Friday, September 19, 2014

#PRKPengkalan Kubor : Siap sedia hadapi serangan lebih sengit Ahad ini - Mustapa

pilihanraya kini     12:00 PM    


Jentera Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor diminta lebih bersedia berdepan dengan pelbagai serangan dan fitnah yang disebarkan pihak lawan yang dijangka sengit bermula Ahad ini.
Pengarah Jentera BN bagi PRK Pengkalan Kubor, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata cabaran itu diakui semakin dirasai jentera BN terutama kerana DUN Pengkalan Kubor terletak di negeri dikuasai PAS.
"Kita menghadapi cabaran hebat kerana kita pembangkang di Kelantan. Kita menjangkakan bermula Ahad ini, mereka akan menyerang kita dengan begitu hebat sekali.
"Jadi, jentera BN kena bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan (serangan pihak lawan)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan perhubungan UMNO Kelantan turut berharap kempen PRK kali ini berjalan dengan baik tanpa insiden tidak diingini berlaku, selain meminta kedua-dua parti mematuhi batasan ditetapkan undang-undang.
Menjawab serangan kempen PAS berhubung isu pembangunan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut menjelaskan dalam tempoh 10 tahun ini, sejumlah RM206 juta sudah dibelanjakan Kerajaan Pusat di Pengkalan Kubor.
"Ia satu angka yang besar yang meliputi (pembinaan) MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan masjid. Jalan walaupun tidak sempurna tetapi (pembinaannya) berjaya menghubungkan kampung-kampung kecil.
"Baiki rumah, buat rumah, bantuan untuk penanaman padi, bina klinik dan sebagainya, semua kita bantu. Jadi adalah dusta (jika PAS dakwa) tiada pembangunan di Pengkalan Kubor," katanya.
Menyentuh isu banjir yang turut dibangkitkan pihak lawan, Mustapa berkata masalah itu perlu diselesaikan secara komprehensif dengan kerjasama kedua-dua kerajaan, negeri dan pusat.
"Kita buat jalan bagi mengatasi masalah banjir, orang sini lebih tahu. Jalan itu untuk menyulitkan laluan air ke Sungai Golok. Beberapa longkang juga telah dibina tetapi tidak mencukupi, tapi kita akan membina lebih banyak lagi," katanya.
Mengenai projek tebatan, beliau berkata, ia memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi yang terpaksa ditampung Kerajaan Pusat.
"Memang kita ada perancangan (tebatan) tetapi kena buat secara berperingkat sebab sekolah dan hospital pun kita hendak buat. Bencana alam ini memang kita belum dapat selesaikan sepenuhnya.
"Kerajaan negeri dan pusat, kedua-duanya ada tanggungjawab. Kita kena lihat sumber kewangan yang baru sebab dari satu sudut, rakyat hendak macam-macam, satu sudut lagi rakyat tidak mahu bayar cukai, macam mana hendak buat kalau cukai pun tidak ada," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.