Saturday, September 20, 2014

#PRKPENGKALANKUBOR : AHMAD ZAHID INGATKAN ANGGOTA RELA JANGAN BERTELAGAH , KEKAL BERSATU

pilihanraya kini     1:00 PM    

 Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang menghadapi pilihan raya kecil 25 Sept ini, agar tidak bertelagah sesama sendiri walaupun berbeza ideologi politik.
Beliau berkata perpaduan dalam kalangan anggota Rela perlu senantiasa dipertahankan bagi menjamin peranan pertubuhan itu untuk menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat.
“Saya tidak mahu anggota Rela berpecah-belah kerana soal calon, saya tidak mahu anggota Rela bertelagah sesama sendiri kerana pilihan raya, saya tidak mahu anggota Rela berselisih pendapat kerana PRK (pilihan raya kecil) ini.
“Kita mahu anggota Rela bersatu hati atas nama pasukan Rela, satu hati, satu Rela, satu semangat,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama-sama anggota Rela di Pengkalan Kubor di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi membina empat buah pusat khidmat operasi Rela di Pengkalan Kubor dan 1,000 pasang uniform Rela untuk anggota Rela di DUN tersebut.
Ahmad Zahid berkata, peruntukan tersebut bagi menghargai jasa anggota Rela di Pengkalan Kubor yang memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan di kawasan itu dan sepanjang proses pilihan raya kecil itu.
“Perpaduan dalam kalangan kita wajib dipertahankan. Saya akan turun ke Pengkalan Kubor lagi dalam masa terdekat untuk memastikan peruntukan itu dan uniform disampaikan kepada anggota Rela secepat mungkin,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 2.9 juta pegawai dan anggota Rela seluruh negara dan jumlah tersebut semakin meningkat.
Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.