Monday, September 15, 2014

#PRKPengkalanKubor : DAP takut datang Pengkalan Kubor?

pilihanraya kini     11:43 AM    


Ketiadaan pe-mimpin tertinggi DAP mengiringi calon Pas dalam proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor seolah-olah menggambarkan mereka khuatir dengan penerimaan rakyat negeri ini terhadap parti itu.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengarah Jentera Operasi PRK DUN Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abudllah yang memberitahu, DAP pernah menyatakan rasa bimbang sekiranya kehadiran mereka ke Pengkalan Kubor mungkin mencetuskan rasa tidak senang rakyat.

"(Penasihat DAP) Lim Kit Siang baru balik dari China, dia ada kata nak datang, namun setakat ini hanya pemimpin tempatan yang datang. Namun dia akan datang.

"Pengundi Cina di sini tak ramai, lebih kurang 100 orang sahaja, lagi pun dia bimbang, dia nak jaga sensitiviti masyarakat, takut memuncak suasana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar harian Pas di Markas Operasi PRK DUN Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat yang juga Penasihat Jentera Operasi, Datuk Takiyuddin Hassan serta calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Sejak kebelakangan ini, DAP dikatakan mempunyai konflik dengan Pas berhubung beberapa isu termasuk serangan pemimpinnya terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas beliau menolak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, rakan sekutu Pas itu juga lantang membantah hasrat kerajaan Pas negeri untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, dalam masa terdekat, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dijangka mengisytiharkan tarikh PRK DUN Pengkalan Kubor, 25 September ini sebagai hari cuti umum bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pas sedia menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengumpulkan bukti menyokong tuntutan royalti petroleum yang dikemukakan kerajaan negeri.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.