Saturday, September 20, 2014

#PRKPENGKALANKUBOR : Majikan Diminta Beri Pelepasan Kepada Pekerja Mengundi

pilihanraya kini     3:00 PM    

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib meminta majikan memberi pelepasan kepada pekerja untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor 25 Sept ini.

Beliau berkata majikan yang menghalang pekerja mengundi boleh dikenakan tindakan undang-undang dan didakwa di mahkamah mengikut Akta Pilihan Raya.

"Jumlah hari pelepasan bertugas itu perlu mengikut jarak pejabat dan tempat mengundi, contohnya jika pejabat terletak di dalam kawasan pilihan raya atau negeri sama, kakitangan boleh diberikan pelepasan setengah hari atau sehari.

"Bagi kakitangan yang bekerja jauh atau di negeri lain, mereka perlu diberi pelepasan cuti tanpa rekod dua hari untuk pulang awal ke tempat pengundian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk Orang Asli di perkampungan Orang Asli Merbau Serengkam dekat Maran, Jumaat.

Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini mengumumkan 25 Sept ini sebagai cuti peristiwa bagi membolehkan pengundi di kawasan berkenaan menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Dalam perkembangan lain, Ismail meminta masyarakat orang Asli supaya memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin.

Katanya kerajaan menyediakan peluang pendidikan yang luas kepada golongan itu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selain latihan kemahiran keusahawanan berasaskan pertanian, pelancongan dan vokasional di kolej-kolej komuniti serta Giat Mara.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.